UPM Bintulu, 15 November 2024 – Institut EkoSains Borneo (IEB), Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), dengan kerjasama Institut Tenaga Masa Depan (IFE), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berjaya menganjurkan Program IEB ECTec Webinar Series: Pathway of Low-Carbon Agenda Through CCUS and Hydrogen for Sustainable Energy Solutions - Series 1 yang berlangsung pada 14 November 2024. Program ini dihadiri oleh 74 peserta dari lima buah negara: Malaysia, Indonesia, Nigeria, Bangladesh, dan Amerika Syarikat, dan telah dilaksanakan secara dalam talian menerusi platform ZOOM.
Webinar ini menampilkan empat orang penceramah: Prof. Madya Dr. Rafiziana Md Kasmani (IFE, UTM), Ts. Dr. Mohd Fadhzir Ahmad Kamaroddin (IFE, UTM), Dr. Muhamed Yusuf Shahul Hameed (IFE, UTM), dan Ts. Dr. Nozieana Khairuddin (IEB, UPMKB).
Timbalan Pengarah program, Ts. ChM. Dr. Azrul Nurfaiz Mohd Faizal, menyatakan bahawa inisiatif ini bertujuan meningkatkan kerjasama antara UPM dan UTM serta memperkukuhkan perkongsian ilmu dalam bidang CCUS dan tenaga hidrogen selaras dengan agenda tenaga lestari global. "Program ini mampu membina hubungan serta jaringan antara pelajar dan ahli akademik dari pelbagai negara dan membuka peluang kerjasama masa depan.
Di samping itu, peserta dapat berkongsi pengetahuan serta pengalaman mereka dari latar belakang yang berbeza, yang dapat memperkayakan ilmu dalam bidang ini. Program ini akan diteruskan sehingga Siri ke-6 pada tahun hadapan dengan fokus yang lebih mendalam terhadap aplikasi CCUS dan tenaga hidrogen," tambah beliau.
Turut hadir dalam program ini ialah Pengarah Institut EkoSains Borneo, UPMKB dan Pengarah Institut Tenaga Masa Depan, UTM. Dalam ucapan perasmian, Pengarah Institut EkoSains Borneo (IEB), UPMKB, Dr. Syeed SaifulAzri Osman Al-Edrus, berkata, “Sebagai siri pertama program ini, saya berharap ia akan berterusan demi mengukuhkan hubungan antara UPM dan UTM. Program ini memberi peluang kepada peserta bukan sahaja untuk meningkatkan pengetahuan akademik tetapi juga memahami hala tuju teknologi CCUS dan tenaga hidrogen di peringkat nasional dan antarabangsa. Ini membantu mereka menjadi warga global yang lebih peka terhadap isu-isu semasa.”
Sementara itu, Pengarah Institut Tenaga Masa Depan (IFE), UTM, Prof. Madya Ir. Dr. Md Pauzi Abdullah, menyuarakan harapan agar program sebegini diadakan dengan lebih kerap kerana teknologi CCUS dan hidrogen merupakan bidang luas yang boleh membuka minda dan memperkaya pengetahuan peserta. Beliau juga mengalu-alukan kerjasama berterusan antara IFE UTM dan IEB UPMKB dalam memperkukuh usaha teknologi CCUS dan hidrogen dari segi perkongsian ilmu, teknologi, dan infrastruktur.
Dengan program ini, UPMKB dan UTM menegaskan komitmen mereka untuk terus mempromosikan kerjasama akademik dan penyelidikan ke arah kelestarian tenaga menjelang 2050.
Date of Input: 18/11/2024 |
Updated: 18/11/2024 | lanz
MEDIA SHARING