SARAWAK TIDAK KORBANKAN BIODIVERSITI DEMI PEMBANGUNAN INDUSTRI | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK sarawak
» NEWS » SARAWAK TIDAK KORBANKAN BIODIVERSITI DEMI PEMBANGUNAN INDUSTRI

SARAWAK TIDAK KORBANKAN BIODIVERSITI DEMI PEMBANGUNAN INDUSTRI

BINTULU: Sarawak tidak pernah mengorbankan biodiversiti demi pembangunan industri, sebaliknya mengimbangi kedua-duanya menerusi pendekatan ekonomi hijau dan pertanian mampan.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Sarawak tidak pernah mengabaikan kepentingan biodiversiti dan pertanian walaupun giat memacu pembangunan ekonomi serta perindustrian.

“Kita meneruskan pembangunan industri, namun pada masa sama tidak melupakan kepentingan biodiversiti dan sektor pertanian dalam usaha membangunkan Sarawak.

“Pendekatan kita diterjemahkan menerusi penekanan pembangunan berasaskan tenaga hijau dan tenaga rendah karbon, termasuk hidrogen biru, sebagai pemacu ekonomi masa depan negeri,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Kongres Ketiga Berkaitan Pertanian Mampan dan Keterjaminan Makanan (COSAFS 2026) di sini, hari ini.

Sejajar dengan pendekatan itu, katanya, Sarawak mempergiat usaha mentransformasikan sektor pertanian menjadi industri moden berpendapatan tinggi menerusi penggunaan kecerdasan buatan (AI), teknologi digital dan tenaga boleh diperbaharui bagi memperkukuh jaminan bekalan makanan jangka panjang.

Katanya, inovasi di bawah Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030) akan menjadi pemacu utama transformasi sektor pertanian dengan memanfaatkan teknologi bagi meningkatkan produktiviti dan memastikan pembangunan mampan.

“Kita berhasrat mentransformasikan sektor pertanian menjadi industri moden, dipacu teknologi dan berpendapatan tinggi melalui inovasi, transformasi digital, pertanian tepat, bioteknologi, kecerdasan buatan, automasi, integrasi tenaga boleh diperbaharui serta pengurusan sumber secara mampan.

“Transformasi ini bukan sekadar meningkatkan pengeluaran makanan, tetapi memastikan ia dilaksanakan secara lestari dengan melindungi hutan, memelihara biodiversiti dan mengurus sumber semula jadi secara bertanggungjawab demi generasi akan datang,” ujarnya.

Jelas Abang Johari, data dan teknologi perlu digabungkan bagi meningkatkan pengeluaran makanan.

“Kerajaan Sarawak percaya data dan teknologi perlu digabungkan. Data merupakan input yang amat penting untuk kita terus maju melalui inovasi, sekali gus meningkatkan kecekapan pengeluaran makanan bagi memenuhi keperluan masyarakat dan dunia,” ujarnya.

Date of Input: 17/08/2026 | Updated: 17/08/2026 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855205
-
X, (11:08:11pm-11:13:11pm, 13 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]