BINTULU, 10 Februari – Sekretariat Rakan Muda (SRM) Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) mensasarkan penyertaan sekurang-kurangnya 500 mahasiswa sepanjang tahun ini sebagai usaha memperkukuh kepimpinan belia dan penglibatan pelajar dalam program pembangunan komuniti.
Sasaran itu diumumkan susulan penyerahan sijil penubuhan SRM UPMS yang berlangsung di kampus universiti berkenaan, petang semalam, sekali gus menandakan pengiktirafan rasmi sekretariat tersebut sebagai platform pembangunan belia di peringkat universiti ini.
Pengarah UPMS, Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini berkata, penubuhan SRM bukan sekadar organisasi pelajar, sebaliknya satu mekanisme latihan kepimpinan yang tersusun dan berimpak tinggi.
Menurut beliau lagi, SRM meletakkan mahasiswa sebagai rakan strategik dalam pelaksanaan program belia, kesukarelawanan dan pembangunan masyarakat.
“UPMS tidak mahu melahirkan graduan yang hanya cemerlang dalam akademik.
Kami mahu mahasiswa yang berani memimpin, mampu membuat keputusan dan bersedia berkhidmat kepada masyarakat,” katanya lagi. Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Sijil Penubuhan SRM UPMS di sini semalam.
Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Pentadbir Pejabat Pengurusan Pelajar UPMS, Mohamad Syukri Adnan, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Bintulu, Encik Kigen Satong, serta Ketua Jabatan Sains Sosial dan Pengurusan UPMS merangkap Penasihat SRM UPMS, Dr. Yasmin Yaccob, Matteus Anak Ugak, Presiden SRM serta Pegawai Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Bintulu dan Kepimpinan Tertinggi SRM UPMS.
Dalam perkembangan sama, Dr. Yasmin berkata, SRM dijangka mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan mahasiswa, selari dengan minat pelajar terhadap aktiviti kepimpinan dan kesukarelawanan.
“Melalui SRM, mahasiswa bukan lagi sekadar peserta, sebaliknya diberi peranan sebagai rakan pelaksana kepada agenda pembangunan belia yang digerakkan oleh kerajaan dan komuniti,” katanya.
Penubuhan SRM di UPMS dilihat selari dengan keperluan semasa negara untuk melahirkan belia berdisiplin, berintegriti dan berkeupayaan menjadi ejen perubahan melalui institusi pengajian tinggi.
Date of Input: 11/02/2026 |
Updated: 11/02/2026 | lanz
MEDIA SHARING