BINTULU, 14 Julai – Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) telah menganjurkan Sesi Bersama Pengarah dan Barisan Ahli Pengurusan bersempena Minggu Perkasa Putra Sesi Akademik 2026/2027 bagi Ambilan Diploma dan Persediaan Diploma yang berlangsung di kampus UPMS pada Selasa.
Program tersebut menjadi platform kepada YBhg. Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini, Pengarah UPMS untuk menyampaikan amanat dan aspirasi beliau kepada pelajar baharu sebagai persediaan mereka memulakan kehidupan di universiti. Dalam amanatnya, beliau menekankan kepentingan kecemerlangan akademik, pembentukan sahsiah, integriti, disiplin serta penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum dan pembangunan diri bagi melahirkan graduan yang holistik serta berdaya saing.
Beliau turut berkongsi hala tuju dan aspirasi UPMS sebagai sebuah universiti penyelidikan yang komited melahirkan modal insan berkualiti melalui kecemerlangan dalam bidang akademik, penyelidikan, inovasi dan khidmat kepada masyarakat. Pelajar juga diseru agar memanfaatkan sepenuhnya peluang pembelajaran dan kemudahan yang disediakan sepanjang tempoh pengajian.
Sesi tersebut turut memperkenalkan ketua-ketua entiti di UPMS kepada pelajar baharu bagi memberi gambaran menyeluruh mengenai peranan setiap entiti dalam menyokong kecemerlangan akademik, pembangunan pelajar dan penyampaian perkhidmatan universiti.
Penganjuran sesi ini mencerminkan komitmen berterusan UPMS dalam memperkukuh hubungan antara kepimpinan universiti dengan warga baharu di samping menyemai semangat kebersamaan, rasa kekitaan dan semangat Jiwa Putra dalam kalangan pelajar sejak hari pertama mereka melangkah ke alam universiti. Diharapkan segala amanat dan perkongsian yang disampaikan menjadi inspirasi kepada pelajar untuk menimba ilmu dengan penuh dedikasi, berintegriti serta bersama-sama mengangkat kecemerlangan UPMS.
Date of Input: 16/07/2026 |
Updated: 16/07/2026 | lanz
MEDIA SHARING