TENAGA HIJAU, BIODIVERSITI PACU BINTULU SEBAGAI HAB AGROMAKANAN | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK sarawak
» NEWS » TENAGA HIJAU, BIODIVERSITI PACU BINTULU SEBAGAI HAB AGROMAKANAN

TENAGA HIJAU, BIODIVERSITI PACU BINTULU SEBAGAI HAB AGROMAKANAN

BINTULU, 3 Ogos: Kedudukan strategik Bintulu sebagai pusat industri rendah karbon membuka peluang kepada Sarawak untuk membangunkan hab agromakanan mampan yang menggabungkan sektor pertanian, biodiversiti dan tenaga hijau.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Bintulu telah dikenal pasti oleh Forum Ekonomi Dunia sebagai kluster peralihan rendah karbon (Low Carbon Transition Cluster), mencerminkan komitmen negeri dalam membangunkan industri secara seimbang.

Menurutnya, walaupun Sarawak terus mengejar pembangunan industri, aspek biodiversiti dan pertanian kekal menjadi keutamaan dalam agenda pembangunan negeri.

“Dalam usaha kita membangunkan diri, kita tidak melupakan kepentingan biodiversiti dan sektor pertanian. Sarawak mempunyai kelebihan besar untuk muncul sebagai peneraju pertanian mampan serantau berikutan kekayaan sumber semula jadi termasuk hutan hujan tertua dunia, sumber tenaga boleh diperbaharui serta kepelbagaian ekosistem pertanian.” katanya ketika berucap merasmikan Congress on Sustainable Agriculture and Food Security (COSAFS) 2026 di sini hari ini.

Katanya, potensi tersebut memberi asas kukuh untuk membangunkan pengeluaran makanan yang lebih mampan selain memperluas industri agro bernilai tambah.

Abang Johari berkata, pendekatan Agri – Hub yang sedang diperluaskan di beberapa lokasi strategik Sarawak merupakan contoh bagaimana penyelidikan, inovasi dan kerjasama bersama komuniti mampu meningkatkan produktiviti pertanian serta sekuriti makanan.

“Pembangunan modal insan juga turut diberi perhatian menerusi penubuhan Sekolah Sains Veterinar dan Haiwan yang akan memperkukuh keupayaan tempatan dalam bidang kesihatan haiwan, penternakan dan pembangunan sektor ternakan,” tambahnya.

Katanya, Sarawak turut mempunyai potensi besar dalam sektor perikanan berikutan kekayaan sumber marin di kawasan perairannya.

COSAFS 2026 katanya menjadi medan penting untuk perkongsian ilmu saintifik, pemindahan teknologi dan pembentukan jaringan antarabangsa dalam usaha membina sistem makanan lebih mampan.

Tambahnya, masa depan pertanian perlu memberi manfaat kepada petani, menarik penyertaan golongan muda, menggalakkan keusahawanan serta memperkukuh komuniti.

“Marilah kita memastikan inovasi yang dibangunkan berteraskan keperluan manusia, bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan memberi manfaat ekonomi kepada semua lapisan masyarakat,” katanya. – TVS

Date of Input: 17/08/2026 | Updated: 17/08/2026 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855205
-
X, (05:06:44pm-05:11:44pm, 14 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]