Bintulu, 1 Disember 2025 – Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) menerima kunjungan delegasi Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dalam satu sesi lawatan penanda aras yang bertujuan memperkukuh hubungan strategik serta memperluas perkongsian amalan terbaik antara kedua-dua institusi.
Rombongan UMSKAL yang terdiri daripada 40 peserta telah diketuai oleh Pengarah UMSKAL, Profesor Ts. Dr. Shamsul Bahari Shamsudin. Ketibaan delegasi UMSKAL di UPMS disambut oleh barisan pengurusan universiti, antaranya Prof. Madya Dr. Noorasmah Saupi, Dekan Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan mewakili Prof. Dr. Shahrul Razid, Pengarah UPMS. Turut hadir memberikan sambutan ialah Dr. Juniza Binti Md Saad, Timbalan Dekan Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains, En. Noor Hakim Ahmad, Ketua Pentadbiran UPMS serta En. Zulkernain Bin Zamawi, Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (UPMS).
Lawatan ini memberi peluang kepada delegasi UMSKAL untuk meneliti pelbagai aspek pengurusan universiti di UPMS merangkumi tadbir urus institusi, penyelarasan operasi, pengurusan kolej kediaman, sumber penjanaan kewangan, hal ehwal pelajar, keselamatan kampus serta pengurusan dan pembangunan galeri kampus.
Sebagai sebahagian daripada program, delegasi turut dibawa melawat beberapa lokasi tumpuan di UPMS termasuk Kolej Sri Rajang UPMS bagi mendapatkan gambaran lebih jelas tentang pengurusan fasiliti dan persekitaran kediaman pelajar.
Lawatan penanda aras ini bukan sahaja menjadi platform pertukaran ilmu dan pengalaman malah turut mengukuhkan hubungan kerja antara UMSKAL dan UPMS dalam usaha memperkasakan kecemerlangan pengurusan institusi pendidikan tinggi.
Date of Input: 10/12/2025 |
Updated: 10/12/2025 | lanz
MEDIA SHARING