Kota Kinabalu Sabah, 18 Ogos 2026 – Universiti Putra Malaysia (UPM) meneruskan komitmen memperluas akses dan penyampaian maklumat pendidikan tinggi menerusi pelaksanaan Taklimat Pendidikan Tinggi kepada pelajar Sekolah Indonesia Kota Kinabalu (SIKK), Sabah.
Program yang melibatkan 50 orang pelajar Sekolah Menengah Atas (SMA) ini bertujuan memberikan pendedahan yang komprehensif mengenai peluang melanjutkan pengajian di UPM Kampus Sarawak dan UPM Kampus Serdang, termasuk pilihan program akademik, laluan kemasukan serta peluang pembangunan akademik dan kerjaya yang tersedia di UPM.
Sesi taklimat turut memberi penekanan kepada kepentingan perancangan pendidikan tinggi secara strategik, khususnya dalam membantu pelajar mengenal pasti bidang pengajian yang selaras dengan minat, kecenderungan, potensi dan aspirasi kerjaya masing-masing.
Turut hadir ialah Kepala Sekolah Indonesia Kota Kinabalu, Bapak Sahyuddin, dan Koordinator Bimbingan Konseling, Bapak Andi Yaqub T. Kehadiran pihak pengurusan sekolah mencerminkan sokongan terhadap usaha memperkasa akses maklumat pendidikan tinggi serta membantu pelajar membuat pilihan akademik yang tepat dan berinformasi.
Pelaksanaan taklimat ini mencerminkan usaha berterusan UPM dalam memperkukuh jaringan strategik dengan institusi pendidikan di Sabah, di samping memperkenalkan ekosistem pendidikan UPM yang merangkumi Kampus Serdang dan Kampus Sarawak kepada kelompok pelajar yang berpotensi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
UPM merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan dan warga Sekolah Indonesia Kota Kinabalu atas kerjasama serta sambutan yang diberikan. Diharapkan program seumpama ini dapat terus menjadi medium berkesan dalam menyampaikan maklumat pendidikan tinggi, memperluas aspirasi akademik pelajar serta membuka ruang kepada generasi muda untuk meneroka peluang pengajian di UPM.
Date of Input: 20/08/2026 |
Updated: 20/08/2026 | lanz
MEDIA SHARING