UPM PERLUAS PENYELIDIKAN DAN INOVASI AGROMAKANAN DI SARAWAK | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK sarawak
» NEWS » UPM PERLUAS PENYELIDIKAN DAN INOVASI AGROMAKANAN DI SARAWAK

UPM PERLUAS PENYELIDIKAN DAN INOVASI AGROMAKANAN DI SARAWAK

BINTULU: Universiti Putra Malaysia (UPM) melihat Sarawak sebagai hab strategik bagi penyelidikan, inovasi dan pembangunan agromakanan mampan menerusi pelbagai inisiatif utama termasuk AgriHub@Gedong serta penubuhan Sekolah Sains Veterinar dan Sains Haiwan (SVAS).

Naib Canselor UPM, Datuk Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah berkata, kedua-dua inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperkukuh penyelidikan,  pendidikan, inovasi dan pembangunan modal insan bagi menyokong agenda keterjaminan makanan di peringkat nasional serta serantau.

Menurut beliau, AgriHub@Gedong menjadi contoh terbaik bagaimana hasil penyelidikan universiti dapat diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal yang memberi manfaat secara langsung kepada komuniti petani melalui kerjasama erat antara universiti, kerajaan, industri dan pihak berkepentingan tempatan.

“Pada masa sama, penubuhan SVAS merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh pendidikan veterinar serta melahirkan lebih ramai tenaga profesional tempatan bagi memenuhi keperluan sektor ternakan dan agromakanan yang semakin berkembang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Kongres Ketiga Pertanian Mampan dan Keterjaminan Makanan 2026 (COSAFS2026) yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Ahmad Farhan berkata, penganjuran COSAFS2026 membuktikan komitmen UPM dalam menghimpunkan komuniti saintifik antarabangsa bagi membincangkan penyelesaian terhadap cabaran keterjaminan makanan dan kelestarian pertanian yang semakin kompleks.

Katanya, tema kongres tahun ini, Feeding the Future, Fostering Sustainable Food, amat bertepatan dengan keperluan semasa ketika dunia berdepan cabaran perubahan iklim, pertumbuhan populasi, kekangan sumber serta gangguan terhadap sistem makanan global.

“Dalam menghadapi cabaran ini, institusi pengajian tinggi perlu memainkan peranan lebih besar bukan sahaja sebagai pusat penjanaan ilmu, malah sebagai peneraju dalam menghasilkan penyelesaian berasaskan penyelidikan yang memberi impak langsung kepada masyarakat,” katanya.
Sebagai universiti peneraju negara dalam bidang pertanian dan sains berkaitan, beliau berkata UPM terus memperkukuh kecemerlangan dalam pendidikan, penyelidikan, inovasi dan khidmat masyarakat menerusi Agenda True North yang menekankan penyelidikan rentas disiplin, pembangunan graduan berdaya saing serta pengukuhan jaringan kerjasama strategik.

Beliau berkata, COSAFS2026 merupakan kongres induk yang menghimpunkan empat persidangan antarabangsa, iaitu Persidangan Saintifik Antarabangsa Tanaman Pribumi Ke-4 (ISCIC2026), Persidangan Antarabangsa Perikanan dan Sains Haiwan Ke-3 (FISAS2026), Persidangan Antarabangsa Makanan dan Tanaman Industri Ke-3 (ICFIC2026) serta Persidangan Ke-18 International Society for Nutraceuticals and Functional Foods (ISNFF2026).

Menurutnya, penganjuran ISNFF di Malaysia buat julung kali merupakan pengiktirafan terhadap keupayaan negara, khususnya Sarawak, sebagai destinasi penyelidikan saintifik, inovasi dan kerjasama agromakanan mampan di peringkat antarabangsa.

Katanya, kongres itu menyediakan platform kepada penyelidik, ahli akademik, penggubal dasar, pemain industri dan organisasi antarabangsa untuk berkongsi penemuan penyelidikan terkini, bertukar idea, meneroka teknologi baharu serta membina kerjasama rentas sempadan.

“Lebih penting, platform ini membolehkan penemuan saintifik diterjemahkan kepada teknologi, dasar dan amalan yang mampu meningkatkan produktiviti sektor pertanian, memperkukuh keterjaminan makanan serta memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua peserta memanfaatkan sepenuhnya peluang sepanjang kongres berlangsung untuk memperluaskan jaringan profesional, berkongsi kepakaran serta membentuk kerjasama penyelidikan yang berkekalan.

Ahmad Farhan turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak, khususnya Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, atas sokongan berterusan dalam memperkukuh penyelidikan pertanian, inovasi dan pembangunan modal insan.

“Kerjasama erat antara universiti, kerajaan, industri dan komuniti amat penting bagi membina sistem makanan yang lebih berdaya tahan serta memacu pertumbuhan ekonomi mampan,” katanya.

Beliau turut menghargai sumbangan institusi rakan kerjasama, penaja, jawatankuasa penganjur dan sukarelawan yang menjayakan penganjuran COSAFS2026, selain berharap kongres itu menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama antarabangsa dalam bidang pertanian mampan dan keterjaminan makanan.

Date of Input: 17/08/2026 | Updated: 17/08/2026 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855205
-
X, (03:16:29pm-03:21:29pm, 11 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]