BINTULU, 11 April 2026 – Seramai lebih 15 peserta dalam kalangan komuniti Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Marin Wilayah 5 Bintulu telah menyertai Program Penanaman Ubi Keledek VitAto Secara Lestari dalam Siri 1: Penanaman dan Penjagaan yang berlangsung dengan jayanya, di sini hari ini. Program anjuran Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) menerusi geran Knowledge Transfer Grant Scheme@PTJ (KTGS@PTJ) ini bertujuan memindahkan kepakaran universiti kepada komuniti setempat melalui penyampaian kemahiran asas pertanian yang praktikal khususnya dalam penanaman ubi keledek VitAto menggunakan kaedah inovatif dalam guni. Pendekatan ini bukan sahaja mampu menjimatkan penggunaan ruang tanah, malah sesuai dipraktikkan di sekitar kawasan kediaman komuniti di samping memperkasa keupayaan mereka dalam menjana sumber makanan sendiri secara lestari.
Sepanjang program tersebut, peserta telah didedahkan kepada tiga modul utama iaitu teknik penyediaan tanah campuran dengan menggunakan tanah ‘topsoil’, kompos, pasir dan palet organik dengan nisbah 3:1:1, teknik penanaman keratan ubi dalam guni, serta kaedah pembajaan dan penjagaan tanaman bagi mendapatkan hasil yang optimum. Sesi demonstrasi telah dikendalikan oleh pensyarah kanan Jabatan Sains Tanaman, UPMS iaitu Dr Hanisah Kamilah Abd Razak, Dr. Muhammad Aidilfitri Mohamad Roslan dan Dr Nuratika Tamimi Sheikh Mohamed (Ketua Projek) bersama En. Mohd Putra bin Mondri @ Hassim selaku staf berpengalaman di Pusat Pertanian Putra, UPMS yang juga turut memberi tunjuk ajar secara langsung kepada peserta. Selain itu, Dr. Wan Asrina Wan Yahaya, Ts. Dr. Shiamala Devi Ramaiya dan En. Shamsudin bin Hatim juga merupakan ahli projek yang telah memberikan sumbangan idea yang signifikan terhadap pelaksanaan program ini.
Para peserta bukan sahaja telah menerima penerangan teori, malah turut terlibat secara aktif dalam aktiviti praktikal khususnya dalam proses pengukuran jarak dan penyusunan guni tanaman, penyediaan keratan batang serta penanaman keratan batang atau ‘stolon’ menggunakan teknik yang dipelajari. Sementara itu, peserta program iaitu Puan Dayang Syarma Binti Hapini dan Puan Adi Binti Bujang menyifatkan latihan tersebut sebagai sangat bermanfaat kerana telah memberikan pendedahan baharu tentang teknik pertanian yang mudah, menjimatkan kos serta sesuai diamalkan di rumah. Mereka juga berkata, “Program ini telah membuka peluang kepada kami untuk menanam sendiri sumber makanan harian dengan cara yang betul dan sistematik, sekali gus berpotensi menjana pendapatan terutamanya bagi persatuan kami kelak”.
Majlis penutup disempurnakan oleh Ketua Jabatan Sains Tanaman, iaitu Profesor Madya Dr Zakry Fitri Ab Aziz yang menzahirkan harapan agar ilmu dan pengalaman yang diperoleh dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh peserta serta dikembangkan lagi kepada komuniti setempat yang lain, termasuk di kampung dan rumah panjang masing-masing. Sijil penyertaan turut disampaikan kepada semua peserta, penceramah, moderator dan ahli jawatankuasa yang terlibat sepanjang pelaksanaan program tersebut.
Program pelanjutan dijangka akan diteruskan pada Ogos 2026 menerusi Siri 2 yang akan memberi tumpuan kepada teknik penuaian serta pemprosesan produk makanan berasaskan ubi keledek. Inisiatif program seumpama ini diharap dapat memberi impak positif kepada komuniti dalam meningkatkan kesedaran terhadap amalan pertanian lestari di samping menyokong agenda keselamatan dan sekuriti makanan di peringkat global.
Date of Input: 16/04/2026 |
Updated: 16/04/2026 | lanz
MEDIA SHARING