Penyelidik dari Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan (FSPH) bersama staf Pusat Pertanian Putra (PPP) Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) telah mengadakan perbincangan dan lawatan tapak di Dalat bagi melaksanakan Projek Dua Dalam Satu Produk Lalat Askar Hitam (LAH), baru-baru ini.
Perbincangan pertama telah diadakan di Pejabat Daerah Dalat bagi menerangkan kandungan serta pelaksanaan Projek Dua Dalam Satu Produk LAH di bawah Program Pendayaan Komuniti@UniMadani.
Projek Dua Dalam Satu Produk LAH bertujuan untuk memindahkan ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada ahli Koperasi Dalat Lestari Berhad mengenai prosedur penternakan LAH bagi mendapatkan larva untuk makanan ternakan dan fras (tinja larva) untuk dijadikan baja organik. Tujuan kedua-dua projekini adalah untuk meningkatkan punca pendapatan ahli Koperasi Dalat Lestari Berhad melalui penjualan larva LAH untuk makanan ternakan dan fras LAH sebagai baja organik.
Projek ini melibatkan Koperasi Dalat Lestari Berhad sebagai rakan komuniti bagi menjayakan Projek Dua Dalam Satu LAH sejajar dengan matlamat koperasi yang ingin menguruskan sisa buangan yang terdapat di sekitar Daerah Dalat secara lestari di samping dapat menjana pendapatan koperasi melalui pendekatan tersebut.
Projek ini akan dimulakan dengan penternakan larva LAH dengan menggunakan pelbagai sisa seperti tumbuhan akuatik yang invasif iaitu teparok (keladi bunting), sisa daripada kilang pemprosesan tepung sagu, sisa kantin sekolah menengah dan sisa kedai makanan di sekitar Daerah Dalat dengan menukarkan sisa tersebut menjadi baja organik dengan menggunakan larva LAH sebagai agen pengurai.
Pembiakan keladi bunting yang sangat agresif dan hampir menutupi sebahagian besar permukaan Sungai Oya menelan kos pengurusan yang sangat besar dan membebankan pihak DID dan Pejabat Daerah Dalat.
Intervensi daripada pihak Petronas Nasional yang membiayai pembinaan kilang pembuatan baja organik daripada penggunaan keladi bunting ini adalah bertepatan dengan misi dan visi Koperasi Dalat Lestari Berhad dalam pengurusan sisa secara lestari. Peluang ini membuka jalan kepada koperasi dan pendudukDaerahDalatuntuk menguruskan tumbuhan invasif keladi bunting ini secara mampan.
Di bawah projek Dua Dalam Satu Produk LAH, pemindahan ilmu pengetahuan kepada ahli koperasi ini akan dilaksanakan dalam tempoh lima bulan. Kelebihan penternakan LAH ini ialah ia mudah dilakukan dan kosnya murah kerana daripada segi makanannya hanya memerlukan sisa buangan selain pengendalian yang mudah difahami.
Tambahan lagi, bahan makanan yang diberikan kepada larva LAH akan dihadam atau diuraikan dengan cepat iaitu dalam lingkungan tempoh masa 45 ke 55 hari bergantung kepada jenis makanan (biasanya sisa pertanian atau bahan yang mudah diuraikan) yang diberikan serta pengendalian semasa penternakan larva LAH.
Projekkerjasamainitercetus ketika majlis simbolik pecah tanah tapak kilang baja organik di Kampung Kekan, Dalat pada 20 Julai 2023. Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, kilang memproses baja secara organik yang dijangka siap pembinaan pada Oktober tahun ini nanti bukan sahaja mampu mengatasi masalah pencemaran tetapi juga akan mendatangkan faedah ekonomi dan inklusiviti sosial.
Pendekatan menghasilkan baja organik menggunakan sisa ini diharap dapat memberikan idea kepada komuniti bahawa sisa dapat ditambah baik untuk menjadi produk tambah nilai yang dapat menjana pendapatan serta memberi manfaat besar kepada penduduk sekitar Daerah Dalat. Bukan sahaja keladi bunting yang dilihat menjejaskan kualiti Batang Oya di Daerah Dalat dapat diproses menjadi bahan yang bermanfaat, malah terdapat juga sisa lain yang tidak kurang pentingnya iaitu sisa kilang pemprosesan tepung sagu.
Terdapat lima kilang pemprosesan tepung sagu di Dalat yang sangat giat beroperasi menghasilkan sisa pepejal, sisa cecair, separa pejal dan separa cair yang perlu juga diuruskan. Semua sisa ini dapat digunakan untuk penghasilan baja organik apabila kilang pembuatan baja organik beroperasi sepenuhnya setelah siap pembinaannya pada Oktober nanti.
Sementara itu, perbincangan mengenai ProjekDuaDalamSatuProduk LAH tersebut melibatkan kehadiran pensyarah kanan UPMKB Dr Latifah Omar, pegawai tadbir Mathew Hubert, pegawai Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Bahagian Mukah Latifah Zaini serta Ahli Lembaga Koperasi Dalat Lestari Berhad yang terdiri daripada Kaunselor Muhd Aznie, Pemanca Peter Lai Sakul, Penghulu Yasa Tanbik, Penghulu Uprel Depit, Ketua Kaum Andyson Sungking Juak, Ketua Kaum Augustine Kupang, Ketua Kaum Awang Omar Ali Awang Yahya dan Sait Seman dari Pusat Khidmat Dalat.
Turut sama menyumbangkan kepakaran ialah staf dari PPP di UPMKB yang terdiri daripada Ts Dr Carlina Freddie Simol @ Rachellynna, Khalid Nawi, Safri Abidin, Norbaya Che Rus, Shamsudin Hatim dan juga Profesor Madya Dr Leong Sui Sien dari Jabatan Sains Haiwan dan Perikanan, UPMKB. Perbincangan lanjut mengenai pelaksanaan projek di bawah Program Pendayaan Komuniti@UniMadani diteruskan dengan meninjau kawasan yang bersesuaian bagi menjalankan aktiviti yang akan berlangsung dalam tempoh lima bulan bermula Ogos sehingga Disember 2024.

Date of Input: 07/08/2024 | Updated: 07/08/2024 | lanz

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia