UPMS × GUET AUTUMN SCHOOL MOBILITY PROGRAM 2025 KUKUHKAN KOLABORASI GLOBAL DALAM BIDANG KECERDASAN BUATAN DAN INOVASI | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK sarawak
» NEWS » UPMS × GUET AUTUMN SCHOOL MOBILITY PROGRAM 2025 KUKUHKAN KOLABORASI GLOBAL DALAM BIDANG KECERDASAN BUATAN DAN INOVASI

UPMS × GUET AUTUMN SCHOOL MOBILITY PROGRAM 2025 KUKUHKAN KOLABORASI GLOBAL DALAM BIDANG KECERDASAN BUATAN DAN INOVASI

GUILIN, China, Oktober 2025 – Hasil kesinambungan daripada lawatan kerja rasmi Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains (FKPS) ke Guilin pada Ogos 2024, UPMS × GUET Autumn School Mobility Program 2025 telah berjaya direalisasikan sebagai manifestasi kerjasama strategik antara Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) dan Guilin University of Electronic Technology (GUET).
 
Lawatan tersebut membuka ruang kepada perbincangan akademik yang memperkukuh kerjasama dalam bidang mobiliti pelajar, penyelidikan bersama serta pembangunan program jangka pendek bertemakan Kecerdasan Buatan (AI).
 
Program bertemakan Smart Futures: UPM Global Exposure in Artificial Intelligence and Innovation ini merupakan inisiatif FKPS-UPMS yang menghimpunkan pelajar daripada pelbagai universiti awam Malaysia bagi mengikuti program mobiliti selama dua minggu di GUET, China. Program ini memberi tumpuan kepada pembelajaran berasaskan inovasi dan teknologi masa hadapan, khususnya dalam bidang AI dan transformasi digital.
 
Sepanjang tempoh pelaksanaan, peserta mengikuti siri bengkel amali yang meliputi topik seperti robotik pintar, sistem trafik berasaskan AI, pemprosesan data masa nyata, serta aplikasi teknologi pintar dalam industri moden. Selain aktiviti akademik, peserta turut mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti kebudayaan termasuk kaligrafi Cina, kraftangan tradisional, dan lukisan artisanal yang memperkayakan pemahaman silang budaya serta mengukuhkan semangat pembelajaran antarabangsa.
 
Antara kemuncak utama program ialah lawatan rasmi ke Pameran Teknologi ASEAN–China 2025 di Guilin, yang memberi peluang kepada peserta meninjau pelbagai inovasi teknologi terkini serta memahami potensi kerjasama teknologi dan ekonomi antara Malaysia, China, dan negara ASEAN lain.
 
Penganjuran ini turut mendapat sokongan Konsortium Universiti Universitas Borneo (KUUB) sebagai rakan strategik UPMS dalam memperkukuh agenda mobiliti global dan pertukaran akademik antarabangsa. Menurut jurucakap UPMS pelaksanaan program ini mencerminkan komitmen universiti dalam memperluas jaringan akademik global dan memperkukuh ekosistem pembelajaran berasaskan teknologi.
 
“Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar menimba pengalaman antarabangsa, tetapi juga menjadi platform strategik untuk memperkukuh penyelidikan dan inovasi rentas sempadan. Kerjasama dengan GUET merupakan langkah penting dalam memperluas penglibatan UPM di arena global, khususnya dalam bidang teknologi dan AI,” ujar jurucakap tersebut.
 
Sementara itu, peserta program, Nur Fatin Aisyah binti Mohd Ahdly, menyifatkan penyertaannya sebagai pengalaman yang membuka mata dan memberi impak besar terhadap perspektif pembelajarannya.
 
“Kami bukan sahaja mempelajari tentang AI secara teori, tetapi turut melihat sendiri bagaimana teknologi ini diaplikasikan dalam kehidupan sebenar. Penglibatan bersama pelajar antarabangsa memberi inspirasi kepada kami untuk berfikir secara lebih luas dan global.
 
Saya juga merasakan perjalanan ini sangat menyeronokkan kerana berpeluang mengenali rakan baharu. Walaupun ada sedikit cabaran dalam berkomunikasi kerana perbezaan bahasa, penduduk tempatan tetap berusaha berinteraksi dengan kami, dan itu amat bermakna. Selain lawatan dan aktiviti kebudayaan yang menarik, saya turut belajar banyak perkara tentang manfaat teknologi AI dan kagum melihat demonstrasi robot anjing yang sangat mengujakan,” katanya.
 
Seorang lagi peserta, Farah Farzana binti Rozaidi, pula menyatakan bahawa penyertaannya kali ini memberikan nilai tambah yang besar kepada pengalaman pembelajaran dan pembangunan peribadinya.
 
“Ini merupakan kali kedua saya menyertai program mobiliti anjuran FKPS, dan setiap kali penyertaan memberikan perspektif baharu tentang bagaimana teknologi membentuk dunia moden. Pendedahan kepada bidang AI dan inovasi digital dalam program ini bukan sahaja memperkukuh kefahaman akademik saya, tetapi turut mengasah keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan keupayaan menyesuaikan diri. Ia merupakan pengalaman yang amat bermakna serta memberi semangat kepada saya untuk terus belajar, meneroka dan mewakili Malaysia dengan bangga di pentas global,” katanya.
 
UPMS × GUET Autumn School Mobility Program 2025 sejajar dengan agenda nasional transformasi digital pendidikan tinggi, selaras dengan tuntutan Revolusi Industri 4.0 dan pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan. Ia turut memberi impak signifikan terhadap peranan UPMS sebagai peneraju pembangunan modal insan berkemahiran tinggi di Malaysia Timur, di samping memperkukuh pengantarabangsaan UPM di peringkat global.
 
Kolaborasi strategik antara UPMS dan GUET diyakini akan terus memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi yang lebih inklusif, inovatif dan berdaya saing, sekali gus menyokong aspirasi Sarawak sebagai hab kecemerlangan pendidikan dan inovasi serantau.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Date of Input: 16/10/2025 | Updated: 16/10/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855205
-
X, (02:26:20pm-02:31:20pm, 15 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]