UPMS ANJUR SEKOLAH MUSIM PANAS KEBUDAYAAN BIO BORNEO | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK sarawak
» NEWS » UPMS ANJUR SEKOLAH MUSIM PANAS KEBUDAYAAN BIO BORNEO

UPMS ANJUR SEKOLAH MUSIM PANAS KEBUDAYAAN BIO BORNEO

BINTULU: Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) bakal menganjurkan Sekolah Musim Panas Kebudayaan Bio Borneo 2026, sebuah program pembelajaran imersif selama 14 hari yang mengetengahkan keunikan Borneo menerusi aspek pertanian, biodiversiti, budaya dan pengembaraan.

Program anjuran Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan (FSPH), UPMS itu dijadualkan berlangsung pada 6 hingga 19 September di Bintulu dan Taman Negara Mulu, Miri.

Jawatankuasa penganjur berkata, program berkenaan memberi peluang kepada peserta dari seluruh dunia untuk meneroka kepelbagaian alam semula jadi, budaya serta amalan pertanian mampan di Borneo melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman.

Menurutnya, pengisian program merangkumi pelbagai bidang termasuk pertanian lestari, pertanian berdaya tahan terhadap perubahan iklim, biodiversiti dan juga etnobotani.

Dalam masa sama turut diadakan sepanjang program adalah perbincangan mengenai pengetahuan masyarakat peribumi, lawatan industri serta aktiviti penglibatan bersama komuniti.

"Peserta bukan sahaja akan memperoleh ilmu berkaitan sains pertanian dan alam sekitar, malah berpeluang memahami hubungan rapat antara manusia, budaya dan ekosistem yang terdapat di kepulauan Borneo," katanya.

Tambahnya, program itu turut memberi pengalaman unik kepada semua peserta yang mengambil bahagian apabila mereka dibawa menyertai aktiviti selama tiga hari dua malam di Taman Negara Mulu, yang diiktiraf sebagai tapak warisan dunia (UNESCO).

"Pengalaman di Mulu akan melengkapkan perjalanan pembelajaran peserta dengan penerokaan keindahan alam, biodiversiti serta warisan semula jadi Sarawak," katanya.

Program yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantaraan itu jelasnya, turut terbuka kepada peserta antarabangsa dengan yuran penyertaan sebanyak USD1,980 seorang yang merangkumi pakej program secara menyeluruh.

Orang ramai yang berminat boleh membuat pendaftaran menerusi pautan https://forms.gle/UfF2cWBdsMq6QQDK8.

UPMS dalam masa sama berharap agar program berkenaan dapat menjadi platform untuk memperkenalkan kekayaan biodiversiti, budaya dan potensi pertanian mampan Borneo kepada peserta dari seluruh dunia termasuk mengukuhkan jaringan akademik serta kerjasama antarabangsa.

Date of Input: 23/07/2026 | Updated: 23/07/2026 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855205
-
X, (03:27:56am-03:32:56am, 17 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]