Xiamen, China - Disember 2025, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) telah menyertaiDialog dan Persidangan Antarabangsa bertemakan “Focusing on Global Competitiveness: Building a New Ecosystem for Future Talent Development” yang berlangsung pada 28 Disember 2025 di Xiamen, China. Forum ini menghimpunkan wakil universiti, institusi penyelidikan, industri dan pakar akademik bagi membincangkan hala tuju pembangunan bakatdan pendidikan tinggi dalam era kecerdasan buatan (AI), dengan penekanan terhadap peralihan daripada pemindahan pengetahuan kepada pembangunan keupayaan dan penyelesaian masalah kompleks.
Dalam persidangan tersebut, Pengarah UPMS, Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini, telah dijemput sebagai penceramah jemputan untuk mewakili Malaysia dengan menyampaikan syarahan jemputan bertajuk “Challenges and Opportunities of Higher Education Cooperation: The East Malaysia Perspectives.” Dekan Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains (FKPS), Prof. Madya Ts. Dr. Wong Tze Jin, turut hadir sebagai jemputan rasmi dan peserta dialog antarabangsa, menyertai perbincangan akademik serta libat urus stratejik bersama wakil institusi lain. Jemputan ini mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap kepakaran dan peranan UPMS, khususnya dalam wacana pembangunan pendidikan tinggi dan pembangunan bakat masa hadapan.
Syarahan berkenaan mengetengahkan peranan strategik sarawak dan Borneo dalam landskap pendidikan tinggi serantau dan global, khususnya sebagai wilayah yang kaya dengan biodiversiti, sumber semula jadi, kepelbagaian budaya serta potensi penyelidikan berimpak tinggi. Perbincangan turut memberi tumpuan kepada cabaran pendidikan tinggi di Malaysia Timur, termasuk akses pendidikan luar bandar, pembangunan bakat tempatan, serta penyelidikan berasaskan komuniti dan kelestarian, yang perlu ditangani secara berfokus dan diterjemahkan sebagai peluang pembangunan jangka panjang.
Menurut Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini, institusi pengajian tinggi di Sarawak memainkan peranan penting sebagai rakan strategik pembangunan negeri, selari dengan usaha Kerajaan Sarawak dalam memartabatkan institusi pengajian tinggi sebagai pemacu pembangunan modal insan, pengukuhan ekonomi berasaskan pengetahuan, serta inovasi dalam bidang strategik seperti kelestarian alam sekitar, ekonomi hijau dan penyelidikan biodiversiti.
Dialog antarabangsa ini turut membincangkan perubahan keperluan bakat global dalam era AI, termasuk peralihan daripada pembelajaran berasaskan pengetahuan kepada pembangunan keupayaan, pemikiran sistemik, kreativiti sertakebolehan menyelesaikan masalah kompleks, sejajar dengan pandangan industri dan akademik antarabangsa yang menekankan kepentingan integrasi teknologi dengan nilai kemanusiaan.
Penyertaan UPMS dalam persidangan ini mencerminkan komitmen berterusan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam memperkukuh kedudukan universiti di peringkat antarabangsa. Secara keseluruhan, penglibatan ini mengukuhkan peranan UPMS sebagai institusi pendidikan tinggi strategik di Sarawak dan Borneo, yang berfungsi sebagai jambatan antara dasar pembangunan negeri, aspirasi nasional dan jaringan akademik antarabangsa, selaras dengan visi dan misi UPM dalam memacu kecemerlangan akademik, penyelidikan dan pembangunan bakat masa hadapan.










Date of Input: 06/01/2026 | Updated: 06/01/2026 | lanz

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia