BINTULU: Institut Ekosains Borneo (IEB) Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) mempelawa penyertaan pelajar, penyelidik, ahli akademik, wakil industri, agensi kerajaan, persatuan serta orang awam dalam Inovasi Antarabangsa Maya untuk Ketahanan Iklim dan Ekosistem 2026 (Virtual International Innovation for Climate and Ecosystem Resilience 2026 atau VIICER2026).
Pertandingan inovasi bertaraf antarabangsa yang berlangsung secara maya itu mengetengahkan tema 'Menginovasi Penyelesaian Iklim untuk Ketahanan Global' bagi menggalakkan penghasilan inovasi berimpak tinggi dalam menangani cabaran perubahan iklim serta mengukuhkan daya tahan ekosistem.
VIICER2026 menawarkan empat kategori penyertaan iaitu murid sekolah rendah, pelajar sekolah menengah dan prasiswazah, pelajar pascasiswazah yang terdiri daripada penyelidik serta ahli akademik institusi pengajian tinggi dan kategori industri pula meliputi agensi kerajaan, persatuan serta orang awam.
Peserta dalam pada itu dikehendaki mengemukakan video inovasi berdurasi antara tiga hingga lima minit berserta ringkasan inovasi yang tidak melebihi 500 patah perkataan.
Yuran penyertaan ditetapkan sebanyak RM50 bagi setiap penyertaan untuk peserta dari Malaysia, manakala peserta antarabangsa dikenakan bayaran USD50 bagi setiap penyertaan.
Peserta yang menghantar lima penyertaan hanya akan dikenakan bayaran bagi empat penyertaan. Semua peserta akan menerima sijil penyertaan elektronik, selain berpeluang memenangi anugerah antarabangsa meliputi pingat emas, perak, gangsa serta Anugerah Pilihan Orang Ramai.
Pendaftaran, pembayaran dan penghantaran video inovasi dibuka mulai 1 Jun hingga 31 Ogos ini nanti, manakala notifikasi pengesahan penyertaan akan dikeluarkan antara 1 hingga 7 September.
Proses penilaian inovasi dijadual berlangsung pada 9 hingga 16 September sebelum majlis penutupan dan pengumuman pemenang diadakan secara dalam talian pada 1 Oktober.
Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai syarat kelayakan, pendaftaran, penghantaran penyertaan dan pembayaran melalui pautan yang disediakan oleh penganjur atau melayari laman sesawang rasmi Institut Ekosains Borneo, UPMS. Penganjur turut menggalakkan penyertaan awal memandangkan tempat adalah terhad.


Date of Input: 09/07/2026 | Updated: 09/07/2026 | lanz

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia