UPMS PERKASAKAN SEKTOR PERTANIAN SARAWAK: KURSUS KORELASI TANAH 2026 HIMPUN PAKAR & KOMUNITI PROFESIONAL PERTANIAN | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK sarawak
» NEWS » UPMS PERKASAKAN SEKTOR PERTANIAN SARAWAK: KURSUS KORELASI TANAH 2026 HIMPUN PAKAR & KOMUNITI PROFESIONAL PERTANIAN

UPMS PERKASAKAN SEKTOR PERTANIAN SARAWAK: KURSUS KORELASI TANAH 2026 HIMPUN PAKAR & KOMUNITI PROFESIONAL PERTANIAN

BINTULU, 16 Mei 2026 – Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) terus memperkukuh peranannya dalam pembangunan bakat profesional pertanian melalui penganjuran Kursus Korelasi Tanah UPMS 2026 yang telah berlangsung di Dewan Sidang dan tapak amali lapangan di Hutan Nirwana, Universiti Putra Malaysia Sarawak. Program anjuran Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan (FSPH) ini menghimpunkan peserta daripada pelbagai agensi pertanian di Sarawak.

Program ini dilaksanakan berteraskan inisiatif University for Society (U4S) dan Program Transformasi Universiti yang menekankan pemindahan ilmu, pembangunan kapasiti komuniti serta pengukuhan amalan pertanian mampan. Kursus ini memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta mengenai konsep korelasi tanah, klasifikasi tanah, kesuburan tanah, biosfera tanah serta isu degradasi dan pencemaran tanah dalam konteks pertanian moden.
 
Sesi pagi dimulakan dengan penerangan berkaitan konsep asas korelasi tanah, teknik klasifikasi dan pentafsiran tanah bagi Siri Bekenu dan Siri Nyalau yang disampaikan oleh Encik Jopen Anak Abut daripada Jabatan Pertanian Sarawak (DOAS). Peserta turut menjalani latihan amali lapangan melalui pemerhatian profil dua pedon tanah bagi mengenali ciri-ciri dan perkaitan antara dua pedon tanah secara langsung di lapangan. Pendekatan teori dan amali ini membantu peserta memahami kesesuaian tanah untuk pelbagai aktiviti pertanian serta pengurusan sumber tanah secara lebih sistematik dan mampan.
 
Bagi memperkukuh kefahaman peserta mengenai pengurusan tanah secara holistik, sesi sebelah petang diteruskan dengan perkongsian ilmu oleh pakar-pakar daripada FSPH, UPM Sarawak. Prof. Madya Dr. Zakry Fitri Ab Aziz menyampaikan slot berkenaan peranan mikroorganisma tanah dan biochar dalam meningkatkan kesihatan tanah, keseimbangan ekosistem serta produktiviti pertanian moden. Selain itu, Dr. Hajjah Wan Asrina Wan Yahaya membincangkan isu pencemaran tanah dan impaknya terhadap ekosistem, manakala Dr. Latifah Omar pula mengetengahkan konsep kesuburan tanah dan degradasi tanah serta kepentingan pengurusan tanah yang lestari untuk jangka panjang.
 
Penganjuran kursus ini menyokong usaha memperkasa komuniti pertanian melalui amalan lestari, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), terutamanya dalam aspek Sifar Kelaparan, Pendidikan Berkualiti, dan Penggunaan Sumber yang Bertanggungjawab.
 
Secara keseluruhannya, Kursus Korelasi Tanah UPMS 2026 berjaya mencapai objektifnya dalam memperkukuh pemahaman peserta terhadap pengurusan tanah, pemuliharaan sumber semula jadi dan aplikasi pertanian mampan. Program ini juga membuktikan komitmen UPMS dalam mempererat hubungan antara institusi pendidikan tinggi, agensi teknikal dan profesional pertanian demi pembangunan sektor pertanian Sarawak yang lebih berdaya tahan dan lestari.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Date of Input: 09/06/2026 | Updated: 09/06/2026 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855205
-
X, (10:42:19pm-10:47:19pm, 12 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]