UPMS SANTUNI 900 PELAJAR LUAR BANDAR DAN PINGGIR BANDAR SEMPORNA MELALUI PROGRAM TAKLIMAT KEMASUKAN IPT | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK sarawak
» NEWS » UPMS SANTUNI 900 PELAJAR LUAR BANDAR DAN PINGGIR BANDAR SEMPORNA MELALUI PROGRAM TAKLIMAT KEMASUKAN IPT

UPMS SANTUNI 900 PELAJAR LUAR BANDAR DAN PINGGIR BANDAR SEMPORNA MELALUI PROGRAM TAKLIMAT KEMASUKAN IPT

SEMPORNA, 6 Februari 2026 – Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) melalui Pejabat Pengurusan Akademik dan Penyelidikan telah berjaya melaksanakan Program Taklimat Kemasukan Pendidikan ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) di beberapa buah sekolah menengah sekitar daerah Semporna, Sabah bermula 4 hingga 6 Februari 2026.
 
Program ini telah dilaksanakan dengan kebenaran Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan melibatkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan empat buah sekolah menengah iaitu SMK Bum Bum (Pulau Bum Bum), SMK Datu Panglima Abdullah, SMK Bugaya dan SMK Tagasan. Program ini menyasarkan pelajar Tingkatan Empat, Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam sebagai kumpulan sasar utama.
 
Melalui penganjuran program ini, UPMS telah menyantuni anggaran seramai 900 orang pelajar daripada sekolah-sekolah luar bandar dan pinggir bandar (pulau) di daerah Semporna. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen UPMS dalam memperluas akses kepada pendidikan tinggi serta memperkukuh penyampaian maklumat berkaitan peluang pengajian kepada pelajar di kawasan berkeperluan.
 
Antara pengisian utama program termasuk taklimat berkaitan laluan kemasukan ke IPT, penerangan program akademik yang ditawarkan oleh UPMS, syarat kelayakan kemasukan, serta perkongsian prospek kerjaya dan pengalaman pembelajaran di universiti.
 
Program ini telah dikendalikan oleh barisan penceramah dan pegawai UPMS yang terdiri daripada Tuan Haji Sudirman bin Asmadi, Ketua Pentadbir Pejabat Pengurusan Akademik dan Penyelidikan; Puan Rosidah Binti Basir, Penolong Pendaftar Kanan Pejabat Pengurusan Akademik dan Penyelidikan; Dr. Ahmad Mustapha bin Mohamad Pazi, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Perhutanan, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan; serta Dr. Karmilah Binti Abdullah, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Sosial dan Pengurusan, Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains.
 
Sesi taklimat dan interaksi dua hala sepanjang program berlangsung telah menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada pihak sekolah dan para pelajar, sekali gus mencerminkan minat tinggi terhadap maklumat berkaitan hala tuju pendidikan selepas tamat persekolahan.
 
Secara keseluruhan, penganjuran program ini berjaya mencapai objektif yang disasarkan dan diharapkan dapat membantu para pelajar di daerah Semporna membuat perancangan awal serta keputusan yang lebih tepat berkaitan masa depan pendidikan mereka.
 
UPMS komited untuk meneruskan penganjuran program seumpama ini sebagai usaha memperkukuh jalinan kerjasama strategik antara universiti dan sekolah-sekolah menengah, khususnya di kawasan luar bandar dan pinggir bandar.
 
 
 
 
 
 
 
 

 

Date of Input: 11/02/2026 | Updated: 11/02/2026 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855205
-
X, (04:04:15pm-04:09:15pm, 11 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]