UPMS SANTUNI LEBIH 2,000 PELAJAR SEKOLAH LUAR BANDAR SABAH DAN SARAWAK MELALUI KEMBARA PENDIDIKAN BORNEO | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK sarawak
» NEWS » UPMS SANTUNI LEBIH 2,000 PELAJAR SEKOLAH LUAR BANDAR SABAH DAN SARAWAK MELALUI KEMBARA PENDIDIKAN BORNEO

UPMS SANTUNI LEBIH 2,000 PELAJAR SEKOLAH LUAR BANDAR SABAH DAN SARAWAK MELALUI KEMBARA PENDIDIKAN BORNEO

Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) terus memperkukuh komitmen dalam memperluas akses pendidikan tinggi menerusi penganjuran Kembara Pendidikan Borneo yang telah berlangsung pada 16 hingga 21 April 2026, melibatkan pelajar sekolah menengah di beberapa daerah di Sabah dan Sarawak.

Sepanjang pelaksanaan program ini, UPMS berjaya menyantuni lebih 2,000 pelajar, khususnya daripada kawasan luar bandar, melalui siri taklimat pendidikan yang memberi penekanan kepada peluang melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi (IPT), laluan kerjaya serta pendedahan kepada program akademik yang ditawarkan.

Di Sabah, program ini melibatkan beberapa daerah utama termasuk Papar, Keningau, Tenom dan Sipitang dengan penglibatan pelbagai sekolah menengah dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Kinabalu. Manakala di Sarawak, program turut dilaksanakan di daerah Lawas melibatkan sekolah-sekolah terpilih sebagai usaha memastikan capaian maklumat pendidikan dapat disampaikan secara menyeluruh kepada pelajar di wilayah Borneo.

Program ini turut disokong oleh penglibatan pegawai dan ahli akademik UPMS yang komited dalam menyampaikan maklumat secara langsung kepada pelajar. Delegasi program ini diketuai oleh Tuan Haji Sudirman bin Asmadi, Ketua Pentadbir di Pejabat Pengurusan Akademik dan Penyelidikan, bersama Puan Rosidah Binti Basir serta tiga orang pensyarah iaitu Dr. Yasmin Binti Yaccob, Dr. Karmilah Binti Abdullah dan Dr. Ahmad Mustapha bin Mohamad Pazi yang mewakili kepakaran dalam pelbagai bidang.

Pelaksanaan Kembara Pendidikan Borneo ini bukan sahaja berperanan sebagai platform penyampaian maklumat pendidikan tinggi, malah turut menjadi medium interaksi dua hala antara pihak universiti dan pelajar, sekali gus membantu pelajar memahami dengan lebih jelas hala tuju pendidikan dan potensi kerjaya yang boleh diceburi pada masa hadapan.

Inisiatif ini selari dengan aspirasi untuk merapatkan jurang akses pendidikan antara kawasan bandar dan luar bandar serta menyokong pembangunan modal insan yang berkualiti, berdaya saing dan berpengetahuan.

UPMS berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan secara konsisten sebagai usaha memperkasa pendidikan dan memberi peluang yang lebih luas kepada generasi muda, khususnya di Sabah dan Sarawak.

 

 

Date of Input: 30/04/2026 | Updated: 30/04/2026 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855205
-
X, (03:12:36am-03:17:36am, 17 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]