UPMS TUAN RUMAH MESYUARAT MAWEZ PERKUKUH EKOSISTEM WAKAF, ENDOWMEN DAN ZAKAT UNIVERSITI AWAM | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK sarawak
» NEWS » UPMS TUAN RUMAH MESYUARAT MAWEZ PERKUKUH EKOSISTEM WAKAF, ENDOWMEN DAN ZAKAT UNIVERSITI AWAM

UPMS TUAN RUMAH MESYUARAT MAWEZ PERKUKUH EKOSISTEM WAKAF, ENDOWMEN DAN ZAKAT UNIVERSITI AWAM

BINTULU, 21 Julai – Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) hari ini menjadi tuan rumah Mesyuarat Majlis Wakaf, Endowmen dan Zakat Universiti Awam (MAWEZ) Kali Kedua (Bil. 1/2026) yang menghimpunkan wakil-wakil universiti awam seluruh negara bagi membincangkan usaha memperkukuh tadbir urus serta pembangunan wakaf, endowmen dan zakat di institusi pengajian tinggi.
 
Mesyuarat yang dihoskan oleh Pejabat Pendaftar (UPMS) dengan kerjasama Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN), Universiti Putra Malaysia itu menjadi platform untuk menyelaras dasar, berkongsi amalan terbaik dan merangka strategi memperkasa pengurusan dana wakaf, endowmen serta zakat agar lebih mampan, telus dan berimpak tinggi.
 
Majlis pembukaan disempurnakan oleh Pengarah Universiti Putra Malaysia Sarawak, YBhg. Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini, bersama Pengarah WAZAN UPM merangkap Pengerusi MAWEZ, YBrs. Tuan Haji Haris bin Dahlan, serta Ketua Pentadbiran Universiti Putra Malaysia Sarawak, YBrs. En. Noor Hakim bin Ahmad.
 
Dalam ucapan alu-aluannya, Prof. Dr. Shahrul merakamkan penghargaan kepada WAZAN UPM atas kepercayaan memilih UPMS sebagai tuan rumah mesyuarat kali ini, di samping menghargai komitmen berterusan WAZAN dalam memperkukuh pembangunan wakaf, endowmen dan zakat di kampus UPMS.
 
Beliau berkata, sepanjang tahun 2026, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan hasil kerjasama strategik antara WAZAN UPM dan UPMS, antaranya Projek Pemerkasaan Pusat Islam UPMS, penyaluran Elaun Saguhati Imam dan Bilal, Program Ihya Ramadan 1447H/2026 serta Dana Wakaf Ilmu bagi menaik taraf sebuah bilik kuliah kepada Future Classroom.
 
Menurut beliau, WAZAN UPM turut menyokong usaha UPMS mendapatkan kelulusan sebagai Amil Zakat Tabung Baitulmal Sarawak yang kini berada pada peringkat akhir proses kelulusan.
 
“Kerjasama ini turut membolehkan UPMS menerima Geran Tahunan daripada Tabung Baitulmal Sarawak yang dimanfaatkan bagi menyalurkan Bantuan Kecemasan kepada pelajar asnaf, sekali gus memperkukuh agenda kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa,” katanya.
 
Sementara itu, mesyuarat tersebut turut membincangkan pelbagai agenda berkaitan pemantapan tadbir urus wakaf, endowmen dan zakat di universiti awam, termasuk pengukuhan jaringan kerjasama antara institusi pengajian tinggi serta agensi berkaitan bagi memastikan pengurusan dana dilaksanakan secara lebih efektif dan lestari.
 
Penganjuran MAWEZ Kali Kedua (Bil. 1/2026) di UPMS dijangka menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh peranan wakaf, endowmen dan zakat sebagai instrumen strategik dalam menyokong kelestarian kewangan universiti, memperkasakan kebajikan warga kampus serta menyumbang kepada pembangunan pendidikan tinggi negara.
 
 
 
 
 

 

Date of Input: 24/07/2026 | Updated: 24/07/2026 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855205
-
X, (02:15:12pm-02:20:12pm, 08 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]