UPMS–JKR BINTULU PERKUKUH KOLABORASI INDUSTRI MELALUI PEMBENTANGAN PROJEK UKUR KEJURUTERAAN | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK sarawak
» NEWS » UPMS–JKR BINTULU PERKUKUH KOLABORASI INDUSTRI MELALUI PEMBENTANGAN PROJEK UKUR KEJURUTERAAN

UPMS–JKR BINTULU PERKUKUH KOLABORASI INDUSTRI MELALUI PEMBENTANGAN PROJEK UKUR KEJURUTERAAN

Seramai 18 orang pelajar Diploma Kejuruteraan Teknologi Pertanian, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) telah mengadakan lawatan akademik ke Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Bintulu pada 6 Mac 2026 bagi mendalami aplikasi sebenar ukur kejuruteraan dalam pembangunan infrastruktur.
 
Lawatan ini diiringi oleh Ts. Gs. Dr. Wan Nor Zanariah binti Zainol @ Abdullah, Pensyarah merangkap Penyelaras Kursus ECV2201: Ukur Kejuruteraan, yang bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai peranan teknik ukur dalam perancangan dan pelaksanaan projek pembangunan sebenar.
 
Sepanjang lawatan, para pelajar mengikuti sesi taklimat oleh pegawai JKR, perkongsian pengalaman profesional serta demonstrasi penggunaan peralatan ukur yang digunakan dalam kerja-kerja kejuruteraan di lapangan.
 
Selain itu, para pelajar turut membentangkan cadangan tajuk projek akhir kursus ECV2201 bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada pihak industri.
 
Projek-projek ini memberi fokus kepada perancangan pembukaan kawasan pertanian baharu yang mengintegrasikan elemen agropelancongan, pengeluaran pertanian dan pendidikan. Antara tajuk projek yang dibangunkan oleh pelajar ialah:
• PaddyLand – Agrotourism + Plantation
• Emerald Valley – Agrotourism + Production
• Evergreen Retreat – Agrotourism + Agroforestry
• Oceanside Education Resort – Education Center + Production (Fish Farm)
 
Bagi projek ini, pelajar perlu mengaplikasikan sekurang-kurangnya tiga kaedah ukur kejuruteraan yang telah dipelajari dalam kursus iaitu Ukur Aras, Ukur Takimetri, Ukur Kompas dan Ukur Terabas bagi menghasilkan pelan dan analisis tapak yang lengkap.
 
Sesi pembentangan ini turut membuka ruang perkongsian dua hala antara pelajar dan pihak industri, di mana pegawai JKR memberikan pandangan profesional serta cadangan penambahbaikan terhadap projek yang dicadangkan. Pihak industri juga menyatakan penghargaan atas peluang tersebut kerana mereka turut dapat berkongsi pengalaman, bertukar idea serta mempelajari perspektif baharu daripada generasi muda dalam bidang kejuruteraan dan pertanian.
 
Inisiatif seperti ini bukan sahaja memberi pendedahan praktikal kepada pelajar, malah mengukuhkan kerjasama antara institusi pengajian tinggi dan agensi kerajaan dalam melahirkan graduan yang berkemahiran serta bersedia menghadapi cabaran industri pada masa hadapan. Terima kasih kepada JKR Bahagian Bintulu atas kesudian menerima lawatan akademik ini.

 
 
 
 
 
 

 

Date of Input: 06/04/2026 | Updated: 06/04/2026 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855205
-
X, (02:33:07am-02:38:07am, 17 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]