MALANG, INDONESIA, 24 November 2025 – Fakultas Teknologi Pertanian, Universitas Brawijaya telah menganjurkan Monthly Agro-Based Engineering Seminar (MABES) in Conjunction with Doctoral Global Teaching Fellowship (DGTF) yang turut disertai secara rasmi oleh delegasi Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPM Sarawak).
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Prof. Dr. Yusuf Hendrawan, Dekan Fakultas Teknologi Pertanian, Universitas Brawijaya. Turut menyampaikan ucapan aluan bagi pihak UPM Sarawak ialah YM. Dr. Tengku Sharifah Marliza, yang mengetuai delegasi universiti dalam siri Program Jelajah Ilmu: Bromo-Ijen 2025.
Dalam seminar tersebut, Dr. Azrul Nurfaiz Mohd Faizal (UPM Sarawak) telah dijemput sebagai penceramah jemputan, membentangkan topik berkaitan kejuruteraan berasaskan agro dan aplikasi teknologi mampan dalam pengurusan air sisa. Penglibatan ini mencerminkan komitmen UPM Sarawak dalam memperkukuh ekosistem ilmu dan perkongsian kepakaran di peringkat antarabangsa, khususnya dalam bidang kejuruteraan pertanian dan kelestarian alam sekitar.
Program berkenaan menghimpunkan 20 orang peserta dari Universitas Brawijaya dan 22 orang peserta dari UPM Sarawak secara fizikal, manakala kira-kira 180 orang peserta lagi menyertai secara dalam talian dari Indonesia, Malaysia dan Thailand. Penganjuran hibrid ini telah membuka ruang dialog ilmiah yang lebih luas, selain memperkasa jaringan kolaborasi dalam penyelidikan, mobiliti akademik dan pemindahan ilmu antara institusi pengajian tinggi rantau ini.
Penglibatan aktif UPM Sarawak dalam MABES–DGTF ini selari dengan aspirasi universiti untuk terus muncul sebagai rakan strategik serantau dalam bidang agro-teknologi, inovasi hijau dan pembangunan mampan.
Date of Input: 28/11/2025 |
Updated: 28/11/2025 | lanz
MEDIA SHARING