YBSC EDISI KE-4 TERUS PERKASA GENERASI MUDA CINTAI BIODIVERSITI DAN KESIHATAN PLANET | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK sarawak
» NEWS » YBSC EDISI KE-4 TERUS PERKASA GENERASI MUDA CINTAI BIODIVERSITI DAN KESIHATAN PLANET

YBSC EDISI KE-4 TERUS PERKASA GENERASI MUDA CINTAI BIODIVERSITI DAN KESIHATAN PLANET

BINTULU, 21 Jun – Seramai 100 peserta yang terdiri daripada pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Mukah, guru pengiring, pensyarah, staf Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) serta sukarelawan Kelab Rimbawan telah menyertai Youth Biodiversity Science Camp 4.0 (YBSC 4.0) 2026 yang berlangsung selama tiga hari dua malam di Kem Hutan Nirwana, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS).
 
Program anjuran bersama Jabatan Sains Perhutanan, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan (FSPH), Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) dan MRSM Mukah ini merupakan edisi keempat penganjurannya sejak diperkenalkan pada tahun 2023. Program yang semakin mendapat sambutan ini bertujuan meningkatkan kesedaran generasi muda terhadap kepentingan biodiversiti, pemuliharaan alam sekitar dan amalan kelestarian melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman di lapangan.
 
Program ini juga selari dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 13 (Tindakan terhadap Perubahan Iklim) dan SDG 15 (Kehidupan di Darat). Sepanjang program yang berlangsung dari 19 hingga 21 Jun 2026, para peserta telah mengikuti pelbagai aktiviti pendidikan dan rekreasi seperti Night Walk, Explorace Flora dan Fauna, Youth Sports Challenge, Survival Skills, Picnic in the Wild dan aktiviti ketahanan diri yang memberi pengalaman langsung kepada peserta untuk mengenali kekayaan biodiversiti hutan tropika Sarawak. Aktiviti-aktiviti tersebut bukan sahaja meningkatkan pengetahuan peserta mengenai flora dan fauna, malah turut membentuk nilai kepimpinan, disiplin, kerjasama dan semangat jati diri yang tinggi dalam kalangan generasi muda.
 
Program ini turut mengetengahkan konsep Kesihatan Planet (Planetary Health) yang menekankan hubungan rapat antara kesejahteraan manusia dengan kesihatan alam sekitar. Melalui aktiviti lapangan yang dijalankan, peserta didedahkan kepada kepentingan biodiversiti dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem, menjamin sumber air bersih, menyokong keselamatan makanan serta membantu mengurangkan kesan perubahan iklim.
 
Penyelaras Program, Dr. Ahmad Mustapha bin Mohamad Pazi, berkata pendedahan awal kepada ilmu biodiversiti dan kesihatan planet amat penting dalam membentuk generasi muda yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
 
“Golongan muda hari ini merupakan pemimpin masa hadapan. Mereka perlu memahami bahawa kesejahteraan manusia bergantung kepada kesihatan ekosistem. Hutan yang sihat, biodiversiti yang terpelihara dan sumber semula jadi yang lestari merupakan asas kepada kehidupan yang berkualiti. Melalui program seperti YBSC, kita dapat menyemai nilai cintakan alam sekitar dan membentuk generasi yang lebih prihatin terhadap kelestarian bumi,” katanya.
 
Beliau berkata, pendekatan pembelajaran luar bilik darjah yang diterapkan melalui YBSC 4.0 membolehkan peserta memperoleh pengalaman secara langsung, sekali gus meningkatkan minat mereka terhadap bidang sains, biodiversiti dan alam sekitar.
 
Kejayaan penganjuran program ini turut mendapat sokongan daripada Cipta Reforestation Sdn. Bhd. yang membantu menjayakan pelaksanaan program. Sokongan yang diberikan mencerminkan komitmen sektor industri dalam menyokong pembangunan modal insan, pendidikan alam sekitar dan usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan biodiversiti serta kelestarian alam sekitar.
 
Majlis Penutupan Program YBSC 4.0 telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Madya Dr. Noorasmah binti Saupi, Dekan Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, Universiti Putra Malaysia Sarawak, manakala YBhg. Tuan Mohammad Gahffari bin Hamdan, Pengetua MRSM Mukah, turut hadir sebagai tetamu kehormat dan menyampaikan amanat kepada para peserta.
 
Menurut beliau, program seperti YBSC perlu diteruskan kerana mampu menjadi platform terbaik untuk memperkenalkan pelajar kepada kepentingan biodiversiti dan pemuliharaan alam sekitar melalui pengalaman sebenar di lapangan.
 
Penganjuran YBSC 4.0 bukan sahaja berjaya meningkatkan pengetahuan peserta mengenai biodiversiti dan pemuliharaan alam sekitar, malah memperkukuhkan kefahaman mereka tentang kepentingan Kesihatan Planet sebagai asas kepada kesejahteraan manusia. Program ini diharap dapat melahirkan generasi muda yang lebih peka, berilmu dan komited dalam memelihara khazanah alam semula jadi demi kesejahteraan masyarakat serta kelestarian bumi untuk generasi akan datang.