Bintulu – Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) dengan kerjasama Tabung Gagasan Ekonomi Anak Sarawak (TEGAS) telah menganjurkan Program Youth Leadership and Entrepreneurship (YLE) Workplace Readiness pada 12 Disember 2024 lalu. Program yang dianjurkan di TEGAS Digital Innovation Hub, Bintulu ini bertujuan untuk melengkapkan golongan belia dengan kemahiran penting sebelum menceburi alam pekerjaan.
YLE 2024 : Workplace Readiness Workshop yang disertai oleh peserta daripada Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak dan Kolej Vokasional Bintulu ini sarat dengan perkongsian yang melengkapkan peserta dengan kemahiran penting seperti komunikasi berkesan, penulisan resume, dan teknik temuduga. Antara sesi yang turut memberi impak dan perspektif berbeza pada peserta adalah pengetahuan praktikal dan latihan langsung mengenai imej profesional bagi meningkatkan peluang mendapat pekerjaan dan pembentukan identiti diri belia.
Antara penceramah jemputan yang hadir bagi menyampaikan perkongsian yang penuh inspirasi ialah Tuan Haji Fakhzan bin Haji Buang dengan tajuk "Image Impact: Polish Your Professional Persona", Pn. Joyce Morris Kapong dengan tajuk "Elevate Your Resume to New Heights" dan En. Noor Hakim bin Ahmad dengan tajuk "Navigating Interviews with Confidence".
Ketua Penyelaras Program, Puan Nur Asyiqin Binti Zaidi, melahirkan rasa bangga atas kejayaan program ini yang mendapat sambutan positif dan memberangsangkan daripada para peserta. “Peserta turut memberikan maklum balas yang baik dan meminta agar lebih banyak siri program seperti ini dianjurkan pada tahun hadapan. Selaku penganjur, pihak kami amat berbesar hati dengan sokongan padu daripada peserta dan akan menganjurkan lebih banyak program yang berimpak tinggi serta bermanfaat khususnya kepada golongan belia" katanya.
Program ini adalah hasil kolaborasi UPMKB – TEGAS Smart Partnership melalui Youth Leadership and Entrepreneurship (YLE) UPMKB di mana TEGAS bertindak sebagai penaja utama program kali ini. Inisiatif ini menekankan komitmen kedua-dua pihak dalam membangunkan kemahiran belia Sarawak untuk memenuhi keperluan pasaran kerja yang semakin mencabar.









Date of Input: 17/12/2024 | Updated: 17/12/2024 | lanz

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia