MUKAH – Kingwood Resort Mukah menjadi saksi penganjuran Bengkel Train The Trainer (3T) yang berlangsung selama tiga hari, bermula dari 12 hingga 14 Julai 2024. Bengkel ini dihadiri oleh 24 peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pekerjaan, dengan tujuan memperkukuh kemahiran dan pengetahuan mereka dalam melaksanakan Kursus Kokurikulum Berkredit (KKB).
Menurut jurucakap program, KKB merupakan satu kursus berstruktur yang wajib diambil oleh semua pelajar diploma dan bacelor di peringkat universiti sebagai syarat untuk bergraduat. Kursus ini memberikan satu (1) jam kredit dan bertujuan untuk menerapkan elemen-elemen Kemahiran Insaniah dalam kalangan pelajar, selain menjadi platform bagi pelajar mempelajari dan memahami konsep serta kaedah pelaksanaan sesuatu aktiviti atau program.
Untuk memastikan kursus ini mencapai objektif pelaksanaannya, bengkel ini dirancang dengan teliti untuk membekalkan fasilitator dengan maklumat dan kemahiran yang diperlukan, sejajar dengan aspirasi universiti dalam melahirkan pelajar yang unggul dan kalis masa depan.
Bengkel 3T ini bertujuan untuk memastikan fasilitator memahami dan menghayati 7 Kemahiran Insaniah secara optimum dan berkesan. Selain itu, maklumat penting berkaitan pelaksanaan kursus KKB disampaikan kepada fasilitator bagi mempersiapkan mereka dengan pengetahuan yang diperlukan.
Bengkel ini juga berfungsi sebagai kaedah pemilihan fasilitator berdasarkan kepada Penilaian Pengajaran Mikro yang akan dilaksanakan. Pelantikan fasilitator kursus KKB memerlukan mereka menghadiri kursus yang telah ditetapkan dan memperoleh sijil berkaitan sebagai penanda aras kompetensi, sejajar dengan usaha menyokong Kerangka Hala Tuju Strategik UPM untuk melahirkan Bakat Kompeten yang Memudahcara.
Antara aktiviti utama bengkel ini adalah Taklimat Bengkel dan Taklimat Pengajaran Mikro yang disampaikan oleh Pn Hairunisah Abdul Rahman dan En Mohd Syawal Sauti. Majlis aluan pengarah bertemakan Bersama ke Mercu: Berilmu Berbakti disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd. Mursyid Arshad, diikuti dengan Modul 2 mengenai Outcome Based Learning dan Student Based Learning yang disampaikan oleh Ts Dr. Rozzamri Ashari. Selain itu, Modul 4 yang berkaitan dengan Pelaksanaan Pengajaran Kursus Kokurikulum Berkredit dari Minggu 1 hingga Minggu 14 disampaikan oleh En. Mohamad Syukri Mohamad Adnan dan En Noor Hakim Ahmad.
Sesi perkongsian fasilitator UPMKB disampaikan oleh En. Roslan Ismail dan En. Mohammad Thaqif Tong juga merupakan sebahagian daripada program ini, disusuli dengan Modul 6 yang melibatkan penerapan kemahiran insaniah melalui aktiviti luar yang disampaikan oleh Tn. Hj Fakhzan Hj Buang. Modul 7 mengenai pembangunan dan simulasi modul aktiviti pengajaran oleh fasilitator kursus disampaikan oleh Tn. Hj Fakhzan Hj Buang dan En. Mohamad Syukri Mohamad Adnan. Malam Pemerkasaan Seni dan Budaya dengan tema Tradisional Sarawak menambah warna kepada bengkel ini, diakhiri dengan Modul 9 yang melibatkan penilaian pengajaran mikro dan majlis penutupan.
Majlis penutupan bengkel ini telah disempurnakan oleh Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini, Pengarah Kampus UPMKB. Dalam ucapannya, beliau menekankan fokus utama universiti untuk melahirkan pelajar yang mempunyai kemahiran insaniah yang tinggi, menjadi pemimpin, dan individu yang berketrampilan serta berkeyakinan.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada peserta yang terpilih menjadi fasilitator KKB UPMKB dan mengharapkan kerjasama berterusan bersama Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), UPM untuk memperkasakan mahasiswa. Turut hadir bersama dalam majlis ini adalah Pengarah PKPP Prof. Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad, Timbalan Pengarah PKPP Ts. Dr. Rozzamri Ashari, En. Mohamad Syukri Mohamad Adnan, Ketua Pentadbir Pejabat Pengurusan Pelajar dan En. Mohamad Syawal Sauti, Ketua Seksyen Kokurikulum Berkredit, PKPP.
Bengkel ini bukan sahaja memberikan pendedahan mendalam mengenai pelaksanaan kursus KKB, tetapi juga menyediakan platform bagi para fasilitator untuk mengasah kemahiran mereka melalui sesi-sesi interaktif dan perkongsian pengalaman. Dengan adanya bengkel ini, diharapkan fasilitator yang dilantik kelak dapat menjalankan tugas dengan lebih berkesan dan mencapai aspirasi universiti dalam melahirkan graduan yang kompeten dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Date of Input: 26/07/2024 | lanz

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia