BINTULU: Karya penyelidik Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) Dr Keeren Sundara Rajoo yang mengangkat judul Terapi Hutan dalam Konteks Malaysia dalam penulisan buku baharunya terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah dilancarkan sempena Bengkel Antarabangsa mengenai Daya Tahan Perubahan Iklim (IWCCR) 2025 di Hotel Harbour View Kuching, pada Rabu.
Buku ini mengetengahkan perspektif Malaysia terhadap terapi hutan dengan menggabungkan pengetahuan saintifik dan amalan tradisional yang telah lama membentuk hubungan masyarakat tempatan dengan alam semula jadi.
Pelancaran buku tersebut telah disempurnakan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni pada acara IWCCR 2025 yang dihadiri 200 peserta dari 11 negara.
Majlis pelancarannya turut dihadiri Pengarah UPMS Prof Dr Shahrul Razid Sarbini, Dr Keeren serta tetamu lainnya.
Ia merupakan sebagai sebahagian daripada pengisian program yang memfokuskan solusi iklim berasaskan alam.
Dr Keeren yang mengetuai Makmal Biodiversiti Borneo di Institut Ekosains Borneo (IEB) UPMS merupakan antara penyelidik terawal di Asia Tenggara yang mengkaji terapi hutan daripada sudut saintifik dan budaya.
Beliau berkelulusan PhD dalam bidang Ekologi dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan pernah menjalankan penyelidikan di Universiti Pertanian Tokyo Jepun.
Buku ini menghuraikan bagaimana persekitaran semula jadi menyokong pemulihan tekanan, menguatkan fungsi imun dan meningkatkan kesejahteraan emosi.
Ia turut membincangkan terapi hutan dalam konteks tradisi pelbagai etnik di Malaysia termasuk mandi embun, amalan berkaitan embun pagi yang dikatakan turut diamalkan oleh pahlawan legenda seperti Mat Kilau.
Turut disertakan ialah panduan amali bagi melaksanakan aktiviti terapi hutan secara selamat dan berkesan mengikut landskap tempatan.
Terapi Hutan dalam Konteks Malaysia turut diperkenalkan pada Oktober lalu dalam Forum Dunia mengenai Terapi Hutan 2025 (WFoFT 2025) di Korea Selatan yang mana Dr Keeren menjadi rakyat Malaysia pertama dijemput sebagai pembentang kertas kerja pada forum tersebut.
Pembentangan tersebut menonjolkan unsur budaya Malaysia dalam terapi hutan moden mendapat maklum balas positif daripada Profesor Shin Won-Seop iaitu Presiden Forum Terapi Hutan Korea yang juga pernah menyandang sebagai Menteri Perkhidmatan Perhutanan Korea dan bekas Pengerusi Jawatankuasa Perhutanan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO).
Sebelum ini, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut menerima senaskhah buku tersebut daripada Dekan Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan (FSPH) UPMS Prof Madya Dr Noorasmah Saupi semasa beliau melawat ruang pameran UPMS dan menyempurna perasmian Sarawak Agrofest 2025 di Bintulu pada Ogos tahun ini.
Justeru yang berminat untuk menelaah buku ini boleh mendapatkannya melalui JendelaDBP, Shopee atau di kedai-kedai buku terpilih.
Tarikh Input: 18/03/2026 | lanz

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia