GRADUAN UPM DISERU JADI PEMIMPIN BERJATI DIRI DAN DUTA UNIVERSITI KONVOKESYEN KE-49 UPM SARAWAK CIPTA SEJARAH DI BAWAH PENJENAMAAN BAHARU | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» PUTRABAKTI » GRADUAN UPM DISERU JADI PEMIMPIN BERJATI DIRI DAN DUTA UNIVERSITI KONVOKESYEN KE-49 UPM SARAWAK CIPTA SEJARAH DI BAWAH PENJENAMAAN BAHARU

GRADUAN UPM DISERU JADI PEMIMPIN BERJATI DIRI DAN DUTA UNIVERSITI KONVOKESYEN KE-49 UPM SARAWAK CIPTA SEJARAH DI BAWAH PENJENAMAAN BAHARU

Universiti bukan sekadar tempat menimba ilmu, tetapi gelanggang penting membentuk jati diri, menyemai bakat dan menyerlahkan potensi pelajar agar bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga dalam kepimpinan dan kokurikulum. Pesanan itu disampaikan oleh Pro Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Tan Sri Peter Chin Fah Kui, semasa menyempurnakan Majlis Konvokesyen UPM ke-49 Sidang 1 di Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS). Beliau menegaskan bahawa kecemerlangan graduan harus diukur melalui keupayaan memimpin, berkomunikasi dan berbakti kepada masyarakat selain pencapaian akademik.

Tan Sri Peter turut menyeru agar para graduan mengamalkan nilai-nilai murni serta menjadi duta kepada nama baik universiti di mana sahaja mereka berada. Beliau turut mengiktiraf peranan Yayasan Sarawak yang menaja pelajar Program Persediaan Diploma Sains sebanyak RM200,000 setahun, yang membantu meringankan beban kewangan pelajar dan memperluas akses kepada pendidikan tinggi. Dalam ucapannya, beliau juga mengingatkan graduan supaya melunaskan pinjaman pendidikan sebagai tanda amanah dan tanggungjawab moral kepada peluang yang diberikan.

Majlis konvokesyen kali ini mencatat sejarah sebagai yang pertama diadakan di bawah penjenamaan baharu UPM Sarawak selepas pelancarannya pada 30 Jun 2025. Ia turut menyaksikan graduan sulung bagi program baharu Bacelor Sains Kimia Perindustrian dengan Kepujian dan Diploma Pengurusan Perniagaan menerima ijazah dan diploma masing-masing. Seramai 556 graduan diraikan meliputi tujuh Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D), 31 Ijazah Sarjana, 130 Ijazah Bacelor dan 388 Diploma.



Date of Input: 13/11/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
-
W, (05:20:31am-05:25:31am, 19 Feb 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]