Ilmu pertanian membentuk saya menjadi insan yang lebih menghargai rezeki, ujar Wan Irfan Hakim Wan Ismail, penerima Pingat Emas Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar Bintulu Port Holdings Berhad (Kategori Diploma) pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-49 Sidang 1 di Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS).
Graduan Diploma Perniagaantani ini menzahirkan rasa syukur atas pengiktirafan tersebut, hasil usaha gigih dan disiplin sepanjang pengajian yang seimbang antara kecemerlangan akademik dan penglibatan aktif dalam kokurikulum, termasuk kejayaan di peringkat antarabangsa seperti Johan Syarahan Agama iFest Antarabangsa 2023 dan juara Dai Muda di Jakarta.
Baginya, bidang pertanian bukan sekadar tentang tanaman, tetapi ilmu kehidupan yang mengajar nilai kesabaran, ketekunan dan tanggungjawab terhadap alam. Ia juga mendidik rasa hormat terhadap kerja keras para petani serta kesedaran bahawa setiap hasil bumi merupakan rezeki yang wajar dihargai. Wan Irfan turut memuji pendekatan program pengajian di UPMS yang memberi kefahaman mendalam tentang kepentingan pertanian terhadap keterjaminan makanan dan kesejahteraan masyarakat.
Kini melanjutkan pengajian di peringkat Bacelor Pendidikan Sains Pertanian dengan Kepujian di UPM Serdang, Wan Irfan berhasrat menjadi pendidik yang bukan sahaja menyampaikan ilmu tetapi membentuk generasi muda agar memahami erti kehidupan, menghargai jasa alam dan berbakti kepada masyarakat. Beliau menyeru golongan belia agar berani meneroka bidang pertanian kerana baginya, pertanian bukan sekadar kerjaya tetapi perjuangan demi kelangsungan manusia.
Date of Input: 13/11/2025 | lanz

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia