BALAI RINGIN, SERIAN – 15 Ogos 2025 – Kompleks Sukan Balai Ringin hari ini menjadi tumpuan ratusan pelajar, belia, ibu bapa dan masyarakat setempat apabila Karnival Pendidikan dan Kerjaya PRO-DR (Project of Dreams Realised) Roadshow Siri Ke-10 bagi tahun 2025 berlangsung dengan penuh meriah dan berimpak.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Snowdan Lawan, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan II merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.10 Balai Ringin merangkap Bendahari Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS).
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS Tuan Haji Udin Bujang, pegawai-pegawai kanan agensi kerajaan, wakil institusi pengajian tinggi, penyedia latihan kemahiran, serta pemain industri tempatan dan antarabangsa yang berganding bahu memacu pembangunan modal insan negeri.
Karnival ini juga melibatkan penyertaan daripada Pejabat Pengurusan Akademik dan Penyelidikan (PPAP) Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) yang mengambil bahagian dalam pameran pendidikan dan kerjaya. Kehadiran PPAP diketuai oleh Puan Rosidah Binti Basir, Penolong Pendaftar Kanan PPAP, bersama Cik Azila Kamarjaman. Penyertaan ini memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat terkini mengenai program pengajian, peluang penyelidikan, dan laluan akademik yang ditawarkan oleh UPMS.
Dalam ucapan perasmiannya, YB Datuk Snowdan Lawan berkata, penganjuran karnival ini membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan generasi muda mendapat pendedahan menyeluruh terhadap peluang pendidikan dan kerjaya.
Karnival ini menampilkan pelbagai pengisian seperti pameran pendidikan, kaunseling kerjaya, bengkel kemahiran, perkongsian inspirasi bersama tokoh industri, serta pendaftaran program latihan dan biasiswa. Peserta juga berpeluang mengikuti sesi interaktif bagi mengenal pasti minat, bakat, dan potensi diri selaras dengan keperluan pasaran kerja.
PRO-DR Roadshow merupakan salah satu inisiatif utama TEGAS bagi menjayakan aspirasi Sarawak ke arah ekonomi digital dan tenaga kerja berkemahiran tinggi. Dengan pendekatan turun padang ke pelbagai daerah, program ini memastikan akses kepada maklumat dan peluang pendidikan lebih inklusif dan menyeluruh.
Penganjuran di Balai Ringin ini turut memperkukuh usaha kerajaan negeri dalam membina generasi yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing, seterusnya menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negeri.
Date of Input: 18/08/2025 | lanz

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia