6 Mei 2024- Putra@Pusa Siri 2 telah dijayakan dengan sebaiknya oleh empat pensyarah kanan daripada Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu, Sarawak. Program tersebut telah dihadiri oleh kira-kira 25 orang ahli usahawan sekitar kawasan Pusa, Sarawak. Antara pensyarah kanan yang terlibat adalah Dr. Hanisah Kamilah’ Abd Razak, Dr. Franklin Ragai Kundat, Dr. Shiamala Devi Ramaiya, dan Dr. Nuratika Tamimi’ Sheikh Mohamed.
Putra@Pusa Siri 2 adalah program yang telah ditaja oleh Skim Geran Pemindahan Ilmu (KTGS JINM), Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui projek Putra@Pusa: Transformasi Sosioekonomi Dan Pembangunan Produk Pertanian Nipah Komuniti Usahawan Pusa, Sarawak.
Projek ini bertujuan untuk meningkatkan ilmu teknologi makanan dan pemprosesan produk nipah di kalangan Masyarakat Pusa, Sarawak. Selain itu, ia juga bertujuan bagi mewujudkan kelestarian aplikasi ilmu di kalangan modal insannya, iaitu para usahawan. Peranan penyelidik UPM juga adalah untuk berkongsi ilmu dan bimbingan bagi masalah yang dihadapi bermula daripada penanaman nipah hingga ke produk pertanian nipah primer, sekunder dan tertier.
Gula apong di Pusa, Sarawak amat terkenal dengan kelazatannya di seluruh Sarawak. Pada ketika ini, gula apong Pusa, Sarawak dipasarkan di sekitar Pusa, Sri Aman, Sibu dan Kuching yang dibekaskan dalam bekas plastik silinder sebanyak 500 g. Lebih kurang 1000 kontena 500 g dapat dihasilkan setiap hari. Dilaporkan terdapat 5 ekar keluasan tanah di Pusa, Sarawak adalah ladang pokok nipah.
Oleh yang demikian, Projek Putra@Pusa diteruskan dengan Siri 2. Dalam Siri 1 Projek Putra@Pusa telah berkongsi ilmu berkenaan penanaman sayur secara hidroponik (Penanaman integrasi), disampaikan oleh Dr. Franklin Ragai Kundat dan Pengendalian Lepastuai Gula Nipah, disampaikan oleh Dr. Nuratika Tamimi Sheikh Mohamed.
Manakala, bagi Putra@Pusa Siri 2 diisi dengan perkongsian ilmu, Penghasilan Produk Buah Nipah, disampaikan oleh Dr. Shiamala Devi Ramaiya dan Penghasilan Produk berasaskan Gula Apong: Dr. Hanisah Kamilah’ Abd Razak. Di samping itu, para peserta juga diberikan peluang untuk berbincang dalam kumpulan bagi persediaan pembentangan potensi produk buah nipah dan gula apong.
Pelbagai idea bernas telah dikongsikan oleh para peserta. Menurut Dr. Shiamala, pakar tanaman buah-buahan UPM Kampus Bintulu, buah nipah tua berpotensi untuk menggantikan tepung. Ini berikutan kadar nutriennya yang berkadaran dengan tepung gandum. Selain itu, program Putra@Pusa Siri 2 juga memuatkan sesi praktikal bagi pembuatan jem buah nipah dan aiskrim berasaskan gula apung.
Dr. Hanisah Kamilah, selaku ketua projek Putra@Pusa 2024 berharap program pemindahan ilmu ini dapat meningkatkan lagi ilmu pengetahuan para usahawan Pusa, Sarawak dan seterusnya dapat memperkembangkan lagi produk berasaskan nipah terutamanya buah nipah dan produk gula apung. En. Juhlie @ Joblee Bin Ramli, Pengerusi Koperasi Kariah Masjid Darul U’lum Kalok Betong Berhad berharap program seumpama ini dapat diteruskan antara Pusa, Sarawak dan UPM.
Dengan perkembangan industri gula apong peluang pekerjaan di Pusa, Sarawak bagi golongan muda juga dijangka akan meningkat. Beliau juga berharap ekonomi Pusa, Sarawak akan melonjak dan Pusa akan lebih terkenal sebagai kawasan pelancongan-agro pengeluaran produk pertanian gula apung di Sarawak. Setiap peserta juga telah dibekalkan set hidroponik lengkap bagi penghakupayaan kendiri, di akhir program Putra@Pusa Siri 2.
Date of Input: 11/06/2024 | lanz

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia