BANGI, 27 Julai – Universiti Putra Malaysia (UPM) sekali lagi membuktikan komitmennya terhadap pembangunan kepimpinan mahasiswa apabila menganjurkan Majlis Anugerah Naib Canselor (ANC) 2025 di Hotel Resort Bangi, Ahad lalu. Majlis berprestij ini diadakan sebagai platform untuk mengiktiraf pencapaian mahasiswa yang cemerlang secara holistik dan kompeten dalam pelbagai bidang, selaras dengan aspirasi Lonjakan 1 Pelan Pembangunan Pendidikan (Pendidikan Tinggi) 2015–2025.
Majlis ANC merupakan acara tahunan yang menjadi mercu tanda pengiktirafan tertinggi buat mahasiswa yang bukan sahaja unggul dalam akademik, malah aktif dalam kepimpinan, kesukarelawanan dan pembangunan sosial. Sepanjang tempoh pelaksanaan, anugerah ini telah menyumbang secara signifikan kepada pemerkasaan bakat mahasiswa dan melonjakkan nama UPM di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Pada tahun ini, sebanyak enam kluster utama telah dipertandingkan melibatkan pelbagai kategori anugerah. Antaranya termasuk Kluster Khas Individu dan Pasukan, Kluster Sukarelawanan, Kluster Pembangunan Akademik & Intelektual, Kluster Pembangunan Sosial, serta Kluster Kepimpinan Pelajar. Turut diperkenalkan ialah Anugerah Penghargaan bagi peringkat Fakulti dan Kolej sebagai tanda sokongan institusi terhadap pembangunan potensi pelajar.
Sebanyak 54 finalis berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir untuk merebut anugerah bagi kategori masing-masing. Kejayaan mereka menjadi bukti nyata kepada kualiti dan daya saing mahasiswa UPM yang sentiasa ke hadapan dalam pelbagai bidang. Hanya seorang finalis yang dipilih untuk menerima pengiktirafan tertinggi sebagai Anugerah Tokoh Siswa UPM, simbol pencapaian menyeluruh yang menjadikan penerimanya sebagai ikon inspirasi.
Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) turut mencatat sejarah membanggakan apabila empat orang pelajarnya berjaya menempatkan diri sebagai finalis dalam pelbagai kluster. Lebih manis lagi, salah seorang wakil UPMS, Ahmad Syukri bin Keria, yang merupakan Majlis Perwakilan Kolej bagi Kolej Sri Rajang sesi 2024/2025, telah dinobatkan sebagai pemenang bagi Kategori Kepimpinan Kolej Kediaman di bawah Kluster Kepimpinan Pelajar. Kejayaan beliau menjadi bukti bahawa kepimpinan yang berteraskan nilai, integriti dan keterlibatan aktif sentiasa mendapat tempat dalam ekosistem mahasiswa UPM.
Majlis Anugerah Naib Canselor 2025 bukan sahaja menjadi medan meraikan pencapaian, tetapi juga medan inspirasi kepada generasi mahasiswa seterusnya untuk terus berusaha dan melakar impak yang signifikan dalam masyarakat. UPM kekal komited dalam melahirkan graduan berdaya saing yang bukan hanya bijak dalam bilik kuliah, tetapi juga mampu menjadi pemimpin masa depan yang menyumbang kepada pembangunan negara dan dunia.
Date of Input: 06/08/2025 | lanz

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia