BINTULU, 14 Jun 2025 - Sempena inisiatif memperkasakan kesedaran dan kesiapsiagaan mahasiswa menghadapi alam pekerjaan, satu program perkongsian bertajuk FORESTALKS: A Journey to Future telah dianjurkan pada 14 Jun 2025 (Sabtu) melalui platform Google Meet, bermula jam 8.00 pagi hingga 11.00 pagi.
Program ini merupakan inisiatif Kelab Fortress yang menampilkan penceramah jemputan, Encik Mohamad Afiq bin Mohd Affandi, Pegawai Pemelihara Hutan dari Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia. Beliau berkongsi pandangan dan pengalaman secara langsung berkaitan realiti dunia pekerjaan dalam sektor perhutanan dan perkhidmatan awam.
Di bawah bimbingan penasihat kelab, Dr. Ameyra Aman Zuki, program ini membuka peluang kepada para peserta untuk berinteraksi secara terbuka, mengemukakan soalan, serta mendapatkan pandangan profesional berkaitan cabaran dan persediaan menghadapi alam kerjaya pascagraduan.
Menurut Pengarah Program, saudari Ruth Malang, program ini memberi impak positif dalam meningkatkan kesedaran mahasiswa tentang kepentingan membuat persediaan awal untuk alam pekerjaan, serta mendorong mereka agar lebih proaktif, berwawasan dan yakin dalam membina hala tuju kerjaya masing-masing.
Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan secara berterusan sebagai medium penting dalam membina jati diri profesional mahasiswa dan menjadikan platform seperti FORESTALKS sebagai ruang pembelajaran luar bilik kuliah yang berkesan dan relevan dengan keperluan semasa industri.
Date of Input: 17/06/2025 |
Updated: 17/06/2025 | lanz
MEDIA SHARING