ABANG JOHARI ZAHIR PENGHARGAAN PENJENAMAAN SEMULA UPM SARAWAK | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» ARTICLE » ABANG JOHARI ZAHIR PENGHARGAAN PENJENAMAAN SEMULA UPM SARAWAK

ABANG JOHARI ZAHIR PENGHARGAAN PENJENAMAAN SEMULA UPM SARAWAK

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada Majlis Pengisytiharan Universiti Putra Malaysia (UPM) Sarawak yang dirasmikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, sebagai Tuanku Canselor UPM, di Istana Alam Shah di sini hari ini. Foto TVS

KLANG, 30 Jun: Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) atas kepercayaan dan sokongan dalam menjenamakan semula Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu kepada UPM Sarawak.

Premier Sarawak itu berkata pengisytiharan tersebut merupakan manifestasi komitmen Kerajaan Persekutuan menerusi KPT bagi menyokong agenda pembangunan pendidikan tinggi yang lebih inklusif dan seimbang di seluruh negara.

“Kerjasama yang erat ini amat dihargai dan diharap dapat terus diperkukuh demi kemajuan pendidikan di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengisytiharan Universiti Putra Malaysia (UPM) Sarawak yang dirasmikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, sebagai Tuanku Canselor UPM, di Istana Alam Shah di sini hari ini.

Menurutnya, pemerkasaan UPM Sarawak adalah selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030), khususnya dalam sektor pertanian, perhutanan, dan tenaga boleh diperbaharui.

Justeru, beliau menyatakan komitmen berterusan kerajaan Sarawak untuk terus memperkukuh dan memperluas kerjasama strategik dengan UPM Sarawak.

Abang Johari berkata ketika ini pelbagai usaha dan kerjasama strategik telah dilaksanakan dengan UPM Sarawak.

“Inisiatif yang membanggakan ialah pelaksanaan projek AgriHub@Gedong, hasil kerjasama strategik antara Pejabat Premier Sarawak dan UPM Sarawak.

“Projek ini bertujuan menerajui transformasi kegiatan penanaman padi di Lubok Punggor, Gedong, dan merupakan titik permulaan penting dalam usaha membangunkan Sarawak sebagai hab pengeluaran padi berimpak tinggi di peringkat nasional,” katanya.

Antara inisiatif lain yang telah dilaksanakan ialah penubuhan Kursi Pusaka UPM yang memperkukuh penyelidikan dalam bidang pengurusan hutan tropika dan tenaga boleh diperbaharui.

Selain itu, Kursi Penyelidikan Pehin Sri Adenan Satem (Kursi Tok Nan) yang memperhebat kajian berkaitan etnik dan antropologi masyarakat Sarawak.

Tambah beliau, Konsortium Universiti Universitas Borneo (KUUB) yang menjadi platform strategik bagi kerjasama serantau melibatkan 16 universiti di Kepulauan Borneo dalam bidang pengajaran, penyelidikan, dan mobiliti akademik. – TVS

Date of Input: 03/07/2025 | Updated: 03/07/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/4:11:19:25~noCache