Pembiakan tampang atau vegetatif merupakan salah satu cara membiak pokok selain semaian menggunakan biji benih. Pembiakan pokok baharu secara semaian biji benih mengambil masa yang lebih panjang untuk menghasilkan buah iaitu di antara 6 hingga 10 tahun berbanding teknik cantuman yang lazimnya akan mengeluarkan hasil seawal 4 ke 5 tahun selepas ditanam. Melalui teknik cantuman, petani boleh memilih sendiri kriteria pokok yang diperlukan seperti rentan kepada serangan perosak, penyakit, dan sebagainya melalui pemilihan varieti tertentu. Selain memudahakan proses penghasilan pokok baharu, keseragaman pertumbuhan dan ciri-ciri tumbuhan induk dapat dikekalkan. Proses ini tidak memerlukan masa yang panjang jika dilakukan dengan cara dan teknik yang betul. Penggunaan teknik cantuman ini popular pada semua jenis pokok berbuah dan tidak berbuah yang ada di Malaysia terutama durian disebabkan oleh permintaan pasaran yang tinggi.
Teknik cantuman yang popular seperti cantuman baji dan cantuman mata tunas adalah lebih mudah dilakukan dengan peratusan kejayaan yang tinggi iaitu sehingga 90%. Manakala teknik cantuman sanding, cantuman tunas keping, cantuman sisi, dan sebagainya memerlukan kepakaran untuk dilakukan agar peratus kejayaannya juga tinggi. Kebiasaanya, aktiviti cantuman dengan pelbagai teknik secara berterusan akan meningkatkan kadar kejayaan kerana kecekapan dan kemahiran yang diperolehi. Selain itu, setiap teknik yang dilakukan perlulah mengikut prosedur yang bersesuaian dan penjagaan pokok cantuman yang betul untuk mengelakkan jangkitan bakteria atau kulat dan akan menganggu peratus kejayaan. Secara amnya, teknik cantuman mata tunas banyak dilakukan pada pokok getah, pokok durian, pokok rambutan, pokok nangka, dan sebagainya.
Sebelum proses cantuman pokok dilakukan, penyediaan pokok penanti yang sihat dan subur perlulah disediakan terlebih dahulu. Pokok penanti boleh diperolehi daripada proses menyemai biji benih (biji daripada buah yang telah dimakan dan dibersihkan). Proses semaian ini mudah dilakukan tanpa mengira varieti asal dan dibiarkan untuk tumbuh dan membesar seperti biasa di peringkat semaian sehingga berumur di antara 6 hingga 12 bulan dengan ukur lilit 3 hingga 4 cm. Umur pokok penanti dan ukur lilit ini bergantung kepada jenis cantuman dan pokok yang akan ditanam. Sebelum proses cantuman dilakukan, pokok penanti haruslah diberi baja secukupnya termasuk mengawal penyakit dan perosak yang ada. Penjagaan berkala ini penting untuk memastikan pokok penanti berada dalam keadaan yang sihat dan subur serta tiada kecacatan fizikal seperti daun bergulung, batang terbelah, dan sebagainya. Ini bertujuan untuk mengelakkan masalah pertumbuhan dan kecacatan kepada pokok cantuman kelak.
Proses cantuman boleh dilakukan dengan menggunakan peralatan khas untuk mengelakkan jangkitan penyakit sekiranya peralatan tersebut berkarat atau tidak diselenggara dengan baik. Peralatan tersebut adalah pisau cantuman pokok (budding knife), sekateur, pita cantuman (grafting tape), dan plastik lutsinar. Selain itu, penyediaan pokok penanti dan mata tunas yang bersesuaian untuk proses cantuman juga perlu disediakan bersama. Pemilihan dan penyediaan mata tunas adalah penting untuk memastikan saiz dan kedudukan yang bersesuaian semasa proses cantuman. Proses ini haruslah dilakukan di waktu pagi dan bukan pada musim hujan untuk mengurangkan kadar jangkitan bakteria atau kulat pada pokok penanti serta mendapatkan mata tunas yang berkualiti.
Cantuman mata tunas bagi pokok durian boleh dilakukan dengan memilih mata tunas bersaiz sebutir beras pada dahan yang lebih tua. Dahan-dahan mata tunas ini haruslah daripada varieti yang diketahui asal usulnya dan diambil pada hari aktiviti cantuman ini dilakukan untuk mengekalkan kesuburannya. Manakala pemilihan mata tunas untuk cantuman baji adalah pada dahan yang lebih muda dengan ukur lilit yang hampir sama dengan pokok penanti untuk mendapatkan hasil cantuman yang baik. Penyediaan mata tunas untuk cantuman baji perlu mengekalkan daun-daun yang tumbuh bersama dahan mata tunas tersebut. Tetapi daun-daun tersebut akan dibuang dan hanya sehelai daun dibiarkan dengan potongan 1/3 daripada keseluruhan saiz daun tersebut. Kedua-dua teknik ini mempunyai peratusan kejayaan yang tinggi dan mudah dilakukan.
Teknik cantuman kulit (bark grafting) juga mudah dilakukan dengan penyediaan mata tunas seperti cantuman baji. Namum pemotongan dahan mata tunas perlu dibuat dengan berhati-hati dan teliti untuk memastikan bahagian potongan dapat bercatum dengan baik pada sisi bahagian kulit pokok penanti yang dibukakan kulit. Apabila cantuman berjaya disatukan, lebihan kulit pokok penanti akan dipotong dan seterusnya dibalut dengan pita cantuman untuk mengelakkan air bertakungan di kawasan tersebut. Selain itu, teknik cantuman ‘T’ juga boleh dilakukan seperti cantuman kulit. Bezanya hanyalah pada teknik membuka kulit pokok penanti iaitu dengan membuat garisan berbentuk ‘T’. Kemudian, mata tunas yang telah disediakan akan disatukan di kawasan tersebut. Teknik ini juga haruslah dibalut kemas dengan pita cantuman dan akhirnya ditutup dengan plastik lutsinar untuk mengelakkan jangkitan bakteria atau kulat di kawasan cantuman tersebut.
Selain peratusan kejayaan yang tinggi, proses cantuman ini boleh menggunakan 1 atau 2 mata tunas pada suatu pokok penanti. Teknik ini akan menjimatkan masa dan meningkatkan kejayaan walaupun salah satu mata tunas mati.
Artikel ini ditulis oleh Dr. Izzah Abd Hamid dan Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Tanaman, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak, Dr. Wan Asrina Wan Yahaya. Sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui email ke izzahabdhamid@gmail.com dan asrina@upm.edu.my.
Rajah 1: Proses memotong bahagian mata tunas pokok getah mengikut saiz bersesuaian dengan pokok penanti. Pemotongan ini untuk membuang bahagian berkayu dan lapisan kambium yang kemudiannya akan diletakkan kepada bukaan kulit pokok penanti secara langsung/terus
Rajah 2: Teknik cantuman mata tunas pokok getah dengan penggunaan mata tunas muda (berwarna hijau) dicantumkan kepada pokok penanti. Penggunaan mata tunas muda lebih popular berbanding penggunaan mata tunas matang (berwarna coklat) kerana pertumbuhan yang lebih cepat
Rajah 3: Teknik cantuman baji pada pokok durian dengan pemilihan mata tunas pada dahan yang lebih muda dengan ukur lilit lebih hampir sama dengan batang pokok penanti. Hanya sehelai daun pada dahan mata tunas dibiarkan dan dipotong 1/3 daripada keseluruhan saiznya
Rajah 4: Teknik cantuman kulit (bark grafting) menggunakan mata tunas seperti cantuman baji tetapi dicantumkan dengan membuka lapisan kulit pokok penanti. Cantuman ini perlu ditutup dengan plastik lutsinar untuk mengelakkan air bertakung dan membunuh pokok penanti
Rajah 5: Cantuman mata tunas pokok durian adalah paling mudah dilakukan dengan peratusan kejayaan yang tinggi. Teknik ini boleh diulang di bahagian kulit pokok penanti yang lain sekiranya bahagian yang dicantum tidak berjaya (mati)
Rajah 6: Teknik cantuman ‘T’ dengan membuat bukaan berbentuk huruf ‘T’ dan meletakkan mata tunas di bukaan tersebut. Cantuman jenis ini juga boleh diulang di bahagian kulit pokok penanti yang lain sekiranya cantuman lama telah mati
Rajah 7: Pembukaan kulit pokok penanti untuk proses cantuman mata tunas. Pembukaan kulit dengan mendedahkan bahagian berkayu adalah untuk memudahkan penyatuan tunas dan pokok penanti. Penyatuan ini memudahkan pengambilan dan serapan nutrien daripada pokok penanti kepada mata tunas dan seterusnya membesar sebagai klon pokok durian baharu
Rajah 8: Biji durian yang telah dibersihkan, disimpan di tempat gelap untuk 2 hingga 3 hari sehingga bercambah dan boleh ditanam di dalam polibeg untuk dijadikan pokok penanti
Date of Input: 01/10/2024 | Updated: 01/10/2024 | lanz
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia