MATOA BUAH UNIK | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» ARTICLE » MATOA BUAH UNIK

MATOA BUAH UNIK

KAKITANGAN Universiti Putra Malaysia (UPM) menunjukkan buah longan kristal.

Negara mempunyai banyak hasil pertanian yang boleh dikomersialkan, sekali gus menjana pendapatan ekonomi sama ada untuk petani ataupun hasil kepada negara jika merangkumi penanaman skala besar.

Hasil penyelidikan berterusan dapat melahirkan variasi tanaman yang lebih tahan kepada cuaca semasa termasuk menambah baik kualiti hasil pertanian sedia ada.

Antara contoh paling sesuai adalah tanaman tahan lasak longan kristal atau 'Matoa' Sarawak mempunyai potensi besar untuk dipasarkan secara meluas.

Buah berkenaan yang dikenali secara saintifik sebagai Pometia pinnata adalah salah satu buah ikonik dari Sarawak.

Ia juga turut dikenali sebagai buah tiga rasa mempunyai keunikan dan potensinya sebagai buah ikon kerana membabitkan keistimewaan daripada aspek botani, ekonomi dan persekitaran.

Buah ini istimewa dan menjadi ikon Sarawak kerana kulit buahnya akan berubah daripada hijau ketika belum matang sementara berwarna kuning, ungu, hijau dan merah apabila mencapai kematangan penuh.

Penyelidik Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) mengambil inisiatif menjalankan penyelidikan terhadap buah ini daripada pelbagai jenis aspek dan membantu Sarawak mengembangkan industri longan kristal kerana ia sukar ditanam di Semenanjung.

CABARAN utama terhadap penanaman buah jenis ini adalah ia hanya hidup di Sarawak dan penanaman di Semenanjung sukar dilaksanakan.

Penyelidik buah-buahan Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan UPMKB, Dr Shiamala Ramaiya berkata, beliau memilih membuat penyelidikan longan kristal bagi memahami lebih lanjut berkaitan kepelbagaian genotip dan potensi buah untuk dikomersialkan.

"Penemuan ini memberi asas penting dalam usaha meningkatkan nilai komersial buah ini dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.

"Apa yang dapat dilihat dalam penyelidikan, buah ini kaya dengan nutrien penting seperti mineral kalium dan antioksidan seperti fenolik dan vitamin C.

"Selain itu, buah ini mengandungi gula semula jadi yang tinggi di mana kandungan gula penurun (glukosa dan fruktosa) lebih banyak berbanding gula bukan penurun iaitu sukrosa," katanya.


LONGAN kristal berpotensi menjadi tanaman komersial negara.

Beliau berkata, kandungan karbohidrat, protein dan serat dalam buah juga tinggi dan amat diperlukan tubuh badan manusia.

Katanya, usaha penyelidikan dan pembangunan turut dijalankan untuk mempelbagaikan produk yang boleh dihasilkan daripada longan kristal.

Menurutnya, ia sekali gus dapat merangsang permintaan dalam pasaran tempatan serta membuka peluang untuk pengiktirafan dan penggunaan di peringkat global.

"Longan kristal ada potensi besar namun penanaman buah ini menghadapi beberapa cabaran.

"Kesedaran terhad dalam kalangan petani, harga pasaran tidak menentu dan kekurangan amalan pengeluaran dan pemasaran seragam menyekat skalabiliti penanamannya."Kami berusaha mempromosikan amalan penanaman lestari, memperbaiki teknik pengendalian lepas tuai dan memperkukuh hubungan pasaran bagi meningkatkan daya saing buah ini di pasaran domestik dan antarabangsa," katanya.

KAYA dengan nutrien penting.

 

Date of Input: 18/11/2024 | Updated: 18/11/2024 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/4:11:03:25~noCache