16 Mei 2024 - DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melancarkan jenama baharu Universiti Putra Malaysia (UPM), “PUTRA : Pertanian Untuk Rakyat” yang berlangsung di Istana Alam Shah, Klang.
Baginda sebagai Tuanku Canselor UPM gembira dengan inisiatif ini dan berharap UPM akan terus cemerlang dan dapat membantu negara dan dunia dalam mencerna penyelesaian kepada masalah berkaitan pertanian dan keterjaminan makanan.
Hadir sama pada majlis berkenaan, YAB Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari dan Naib Canselor UPM, YBhg. Dato’ Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah.
UPM mengambil inisiatif menjenamakan semua aktiviti-aktiviti pengembangan pertanian dan keterjaminan makanan di bawah jenama PUTRA. Pelancaran PUTRA melambangkan sumbangan penting UPM dalam memperkasa bidang pertanian serta komitmen universiti berkenaan dalam memajukan pertanian untuk kepentingan masyarakat.
Penjenamaan ini memberikan pendedahan kepada masyarakat bahawa UPM bersama agensi terbabit menyediakan pelbagai program latihan, pendidikan, dan penyelidikan kepada petani tempatan yang boleh menyumbang kepada peningkatan sara hidup dan pembangunan ekonomi masyarakat.
UPM kekal komited menunjangi bidang pertanian sejak penubuhannya yang dikenali sebagai Universiti Pertanian Malaysia pada tahun 1971 sehingga kini melalui pelbagai inisiatif pengembangan pendidikan pertanian buat rakyat.
Date of Input: 17/05/2024 | Updated: 17/05/2024 | lanz
MEDIA SHARING