Pernahkah kita terfikir ke mana perginya kulit buah selepas diproses atau dimakan? Kebiasaannya, sisa ini dibuang begitu sahaja tanpa dimanfaatkan. Namun, penyelidik Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) melihat kulit buah daripada sudut berbeza, iaitu sebagai sumber bernilai yang boleh dijadikan sabun pencuci mesra alam.
Melalui inovasi yang dinamakan EnviroBio FruitFresh, sisa kulit buah digunakan sebagai bahan utama dalam formulasi sabun pencuci yang bukan sahaja efektif, malah selamat digunakan. Kulit buah mengandungi asid organik dan sebatian bioaktif seperti fenolik serta flavonoid yang membantu proses pembersihan semula jadi dan mempunyai ciri antibakteria.
Keistimewaan produk ini juga terletak pada penggunaan enzim protease bakteria yang berfungsi memecahkan protein dalam kotoran seperti peluh, darah dan sisa makanan kepada molekul yang lebih kecil. Pendekatan ini membolehkan kotoran ditanggalkan dengan lebih berkesan tanpa memerlukan bahan kimia keras seperti yang biasa terdapat dalam detergen konvensional.
Menurut Pensyarah Jabatan Sains Haiwan dan Perikanan, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, UPMS, Prof. Madya Dr. Leong Sui Sien, pembangunan produk ini mengambil masa hampir dua tahun. Selain berkesan digunakan untuk cucian pakaian, produk ini juga sesuai untuk pembersihan dapur komersial, tuala hotel serta sanitasi permukaan di pejabat dan premis makanan.
Lebih menarik, EnviroBio FruitFresh tidak mengandungi bahan seperti SLS, SLES atau peluntur klorin, dengan julat pH sekitar 6 hingga 7 yang lebih lembut pada kulit. Inovasi ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna, malah menyokong konsep sifar sisa dan ekonomi kitaran hijau, sekali gus membuktikan bahawa sains mampu menukar bahan buangan menjadi solusi lestari untuk kehidupan harian.





Date of Input: 31/03/2026 | Updated: 31/03/2026 | lanz

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia