GEDONG, 29 November – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk meningkatkan pengeluaran padi melalui pelaksanaan projek pertanian moden dan berskala besar.
Abang Johari berkata pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Projek Rakyat: Skim Rehabilitasi MID Sadong 1 di Kampung Lubok Punggor, beliau menjelaskan pendekatan baharu dalam penanaman padi melibatkan penggunaan teknologi moden serta kerjasama strategik dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) Cawangan Bintulu.
“Kita telah bekerjasama dengan UPM yang membawa tenaga pengajar dan pelajar untuk memperoleh pengalaman praktikal dalam penanaman padi. Untuk kawasan pertama, kita bangunkan 54.4 hektar dengan kos RM30 juta sebagai model bagi pembangunan 520 hektar keseluruhannya,” katanya.
Beliau menyatakan harapan agar model ini mampu meningkatkan hasil pengeluaran daripada 5 tan kepada 8 tan sehektar melalui sistem pengairan dan teknologi efisien. Pendekatan sama turut dirancang di kawasan seperti Tanjung Purun (Lundu), Lingga Bijat (Sri Aman), dan Sumin, melibatkan keseluruhan kawasan seluas 3,000 hektar.
Menurut beliau, sasaran jangka panjang adalah untuk mencapai 61,340 hektar kawasan penanaman padi menjelang 2030, termasuk kawasan kecil seperti Spaoh, Rajang, dan Ba’kelalan. “Jika berjaya, kita bukan sahaja dapat memenuhi 50% keperluan beras Sarawak, malah berpotensi untuk eksport,” tambahnya.
Abang Johari turut mengumumkan perubahan struktur Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) bagi menyokong pembangunan pertanian. “DID akan dipecahkan kepada dua unit: satu untuk kawasan bandar di bawah Kementerian Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, dan satu lagi untuk kawasan pertanian di bawah Kementerian Komoditi dan Industri Makanan yang dipimpin Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom,” katanya.
Selain padi, kerajaan turut memfokuskan pembangunan tanaman kelapa dan nanas. Beliau menekankan pentingnya penanaman kelapa baharu seperti kelapa aromatik di Kampung Keranggas dan Sabangan, serta pembangunan tanaman nanas di kawasan pesisir.
Beliau juga menjelaskan potensi besar sektor hiliran seperti penghasilan tepung beras dan produk lain untuk meningkatkan nilai tambah padi. “Dengan mesin penanaman dan penuaian moden, masyarakat dapat mengoptimumkan hasil dan mengurangkan kos,” katanya.
Premier Sarawak turut menekankan keperluan membangunkan benih padi berkualiti tinggi dengan mencampurkan benih tempatan dan Vietnam untuk menghasilkan varieti lebih baik.
“Kita mesti kreatif dalam sektor pertanian sebagai aktiviti ekonomi yang menjana pulangan, tetapi penting untuk menggunakan cara moden yang lebih efisien,” katanya
Kerajaan Sarawak optimis strategi ini akan membawa perubahan besar kepada sektor pertanian negeri, sejajar dengan aspirasi untuk mencapai kemampanan makanan menjelang 2030.