TYT SARAWAK DAN ISTERI BERKENAN HADIR MAJLIS PENGISYTIHARAN UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» ARTICLE » TYT SARAWAK DAN ISTERI BERKENAN HADIR MAJLIS PENGISYTIHARAN UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

TYT SARAWAK DAN ISTERI BERKENAN HADIR MAJLIS PENGISYTIHARAN UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

 
KLANG, 30 Jun – Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah binti Mohd Sanusi telah berkenan menghadiri Majlis Pengisytiharan Universiti Putra Malaysia (UPM) Sarawak yang berlangsung di Istana Alam Shah, di sini petang tadi.
 
Ketibaan TYT Tun Pehin Sri dan YABhg. Toh Puan pada jam 2.40 petang telah disambut oleh para kenamaan sebelum diiring masuk ke Balai Menghadap bagi menantikan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Canselor UPM.
 
Majlis bermula sejurus keberangkatan tiba D.Y.M.M. Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj bersama D.Y.M.M. Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, Tengku Permaisuri Selangor ke Balai Menghadap untuk menyantuni dan mengalu-alukan para jemputan utama.
 
Sesi bergambar rasmi bersama jemputan kehormat diadakan terlebih dahulu sebelum semua tetamu diiring ke Balai Tetamu untuk mendengar titah ucapan pengisytiharan rasmi oleh Tuanku Canselor UPM.
 
Dalam titah baginda, DYMM Tuanku menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian kampus tersebut yang telah berkembang sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang pertanian, perhutanan dan keselamatan makanan, sekaligus memperkukuh peranannya dalam pembangunan negara, khususnya di Sarawak dan di peringkat antarabangsa.
 
Baginda turut menekankan sumbangan penting Kementerian Pengajian Tinggi dalam memperkukuh sistem pendidikan tinggi serta menyokong agenda keselamatan makanan negara.
 
Penjenamaan semula Kampus UPM Bintulu sebagai UPM Sarawak (UMPS) merupakan langkah strategik untuk memperkukuh peranan institusi ini di wilayah Borneo. Langkah ini turut bertepatan dengan sambutan 50 tahun penubuhan UPM di Sarawak, dengan visi melahirkan lebih ramai graduan profesional dan menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negeri, seiring dengan aspirasi Sarawak untuk mencapai status negeri maju menjelang tahun 2030.
 
Setelah menyampaikan titah, DYMM Tuanku Canselor berkenan menandatangani plak pengisytiharan sebagai simbolik kepada pemasyhuran rasmi penjenamaan Universiti Putra Malaysia Sarawak, disaksikan oleh para jemputan utama.
 
Seterusnya, para jemputan bergerak secara tertib ke Balai Tengah bagi meneruskan acara rasmi yang penuh bersejarah ini. Majlis diteruskan dengan sembah ucapan penghargaan oleh YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari, Premier Sarawak, diikuti dengan tayangan montaj khas yang mencerminkan aspirasi dan peranan UPM Sarawak dalam memperkasa pendidikan serta pembangunan negeri Sarawak.
 
YAB Premier Sarawak dalam sembah ucapan memaklumkan penjenamaan semula UPMS amat bermakna bukan saja pada negeri, tetapi kepada seluruh warga UPM kerana kampus itu berdiri teguh di bumi Kenyalang sejak tahun 1974. Pemerkasaan UPMS amat selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS 2030), khususnya dalam sektor pertanian, perhutanan, dan tenaga boleh diperbaharui.
 
YAB Premier Sarawak menambah bahawa inisiatif yang membanggakan ialah pelaksanaan projek AgriHub@Gedong, hasil kerjasama strategik antara Pejabat Premier Sarawak dan UPMS. Projek ini bertujuan menerajui transformasi kegiatan penanaman padi di Lubok Punggor, Gedong, dan merupakan titik permulaan penting dalam usaha membangunkan Sarawak sebagai hab pengeluaran padi berimpak tinggi di peringkat nasional. katanya.
 
Beliau berkata Kerajaan Sarawak berbesar hati dengan kerjasama untuk menubuhkan Sekolah Veterinar dan Sains Haiwan (SVAS) bersama UPM Sarawak dalam menyokong aspirasi Keterjaminan Makanan. Penubuhan SVAS ini adalah model pertama seumpamanya yang melibatkan kerjasama kerajaan Sarawak dan universiti awam dalam melahirkan pakar veterinar; dan untuk itu kerajaan Sarawak akan menyalurkan dana berpanjangan bagi memastikan kemampanan SVAS.
 
Sebelum santapan minum petang dimulakan, majlis menjemput Al-Fadhil Imam Paduka Tuan, Tuan Haji Rashid bin Mahful untuk memimpin bacaan doa. Semasa menikmati santapan minum petang, para tetamu dihiburkan dengan persembahan istimewa alat muzik Sape oleh dua pelajar UPM Sarawak, iaitu Cik Florence Devong Terence, pelajar tahun akhir Sarjana Muda Sains Bioindustri dengan Kepujian dan Encik Joshua Kajing, pelajar Sarjana Muda Sains Pembangunan Manusia dengan Pengurusan.
 
Usai santapan, DYMM Tuanku Sultan dan Tengku Permaisuri berkenan mengadakan lawatan khas bersama TYT Tun Pehin Sri dan YABhg. Toh Puan ke beberapa ruang dalam Istana seperti Bilik Mesyuarat Dewan Diraja, Balai Rong Sri dan Balai Santapan Diraja.
Dalam lawatan tersebut, baginda turut berkenan mempamer serta berkongsi cerita di sebalik koleksi-koleksi Diraja yang terpelihara dengan rapi.
 
Majlis diakhiri dengan DYMM Tuanku Sultan merakamkan gambar kenangan bersama TYT Tun Pehin Sri serta barisan pengurusan Universiti Putra Malaysia. Seterusnya, Tengku Permaisuri berkenan menyempurnakan acara penyerahan cenderamata kepada YABhg. Toh Puan sebelum berangkat pulang.
 
Antara tetamu kenamaan yang turut hadir termasuk YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor dan isteri, YABhg. Datin Seri Masdiana Muhamad; YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia; YBhg. Tan Sri Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam; YB Datuk Amar Haji Abu Bakar bin Haji Marzuki, Setiausaha Kerajaan Sarawak; YB Dato' Dr. Ahmad Fadzli bin Ahmad Tajuddin, Setiausaha Kerajaan Selangor serta Yang Berbahagia Dato Ahmad Nadzri bin Mohd Hassan, Setiausaha Persekutuan Sarawak.
 
Delegasi Kerajaan Sarawak turut diwakili oleh YB Dato Sri Dr. Stephen Rundi Anak Utom, Menteri Industri Makanan, Komoditi & Pembangunan Wilayah (M-FICORD); YB Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD); YB Datuk Maclaine @ Martin Ben, Timbalan Menteri M-FICORD; YB Datuk Dr. Haji Annuar bin Rapa’ee, Timbalan Menteri MEITD (Pendidikan & Inovasi); YB Datuk Francis Harden Hollis, Timbalan Menteri MEITD (Pembangunan Bakat); YBhg. Datu Sirai Anak Daha, Setiausaha Tetap, Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah dan YBhg. Tuan Haji Adana bin Haji Jed, Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat.
 
Turut serta memeriahkan majlis ialah warga Universiti Putra Malaysia termasuk Pro Canselor YBhg. Dato’ Profesor Emeritus Ir. Dr. Muhamad Zohadie Bardaie dan YBhg. Tan Sri Peter Chin Fah Kui; Naib Canselor UPM, YBhg. Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim bin Komoo serta barisan Lembaga Pengurusan UPM dan UPM Sarawak, termasuk Jawatankuasa Pengurusan UPM.
 
TYT Tun Pehin Sri dan Toh Puan turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Universiti Putra Malaysia dan menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Kerajaan Negeri Sarawak dalam memperkasa institusi pendidikan tinggi.
Usaha ini dilihat selaras dengan aspirasi menjadikan Sarawak sebagai hab kecemerlangan ilmu dan inovasi di rantau ini.
 
TYT Tun Pehin Sri dan Toh Puan mendoakan agar DYMM Tuanku Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri serta seluruh kerabat Diraja sentiasa dikurniakan kesihatan, keafiatan dan kesejahteraan yang berpanjangan.
 
TYT Tun Pehin Sri dan Toh Puan turut mendoakan agar Negeri Selangor terus dilimpahi kemakmuran di bawah pemerintahan Tuanku Sultan yang penuh hikmah dan kebijaksanaan.
– TAMAT –
 
Foto: Astana Negeri Sarawak

Date of Input: 03/07/2025 | Updated: 03/07/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/4:14:53:11~noCache