UPM KAMPUS BINTULU AKAN DIJENAMAKAN SEMULA SEBAGAI UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» ARTICLE » UPM KAMPUS BINTULU AKAN DIJENAMAKAN SEMULA SEBAGAI UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

UPM KAMPUS BINTULU AKAN DIJENAMAKAN SEMULA SEBAGAI UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

 

Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat daripada delegasi Universiti Putra Malaysia di Astana Negeri Sarawak, Kuching, hari ini. Foto Astana Negeri Sarawak


KUCHING, 26 Mei: Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) akan dikenali secara rasmi sebagai Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) bermula 30 Jun 2025, sekali gus mengiktiraf peranan penting negeri ini dalam pembangunan pendidikan tinggi negara.

Majlis Pengisytiharan UPMS dijadual berlangsung di Istana Alam Shah, Klang, Selangor dan akan dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Menurut kenyataan dimuat naik di Facebook rasmi Yang di-Pertua Negeri Sarawak, jemputan rasmi ke majlis itu disampaikan kepada Tun Wan Junaidi dan Toh Puan oleh delegasi Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam satu kunjungan hormat di Astana Negeri Sarawak, hari ini.

“Penjenamaan semula Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak kepada Universiti Putra Malaysia Sarawak (adalah) sebagai pengiktirafan terhadap peranan signifikan Sarawak dalam pembangunan pendidikan tinggi negara,” kata kenyataan itu.

Dalam pertemuan itu juga, pihak UPM turut memaklumkan pelantikan Tan Sri Peter Chin Fah Kui sebagai Pro-Canselor UPM yang baharu berkuat kuasa 18 Oktober 2024.

Pelantikan tersebut dilihat sebagai usaha memperkukuh hubungan strategik antara UPM dan kepimpinan negeri, selain memperluas manfaat bersama dalam pelbagai bidang terutamanya pendidikan dan keterjaminan makanan.

Antara agenda lain yang turut dibincangkan termasuk cadangan penubuhan Sekolah Veterinar dan Sains Haiwan (SVAS) di Sarawak serta peranan UPM dalam menyokong usaha kerajaan menjamin keterjaminan bekalan makanan.

Tun Wan Junaidi merakamkan penghargaan kepada pihak UPM atas keprihatinan dan inisiatif yang ditunjukkan dan berharap hubungan erat yang terjalin akan terus memberi impak positif kepada masyarakat dan negara secara keseluruhan.

Beliau turut menzahirkan harapan agar UPM terus memperluas akses kepada pendidikan berkualiti tinggi di Sarawak, melahirkan modal insan berkemahiran serta menjadi peneraju dalam penyelidikan dan inovasi yang memanfaatkan rakyat secara menyeluruh.

Date of Input: 05/06/2025 | Updated: 05/06/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/4:9:08:16~noCache