Tokyo, 20 Jun – Universiti Putra Malaysia (UPM) yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Ismi Arif Ismail, dan Pengarah UPM Kampus Bintulu, Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini telah menghadiri Persidangan The Association of Southeast Asian Institutions of Higher Learning (ASAIHL) di Juntendo University, di sini baru-baru ini.
ASAIHL yang telah berlangsung pada 15 hingga 18 Jun 2024 memberi penekanan revolusi teknologi dan inovasi dalam sistem pendidikan untuk memastikan pendidikan lebih mudah diakses dengan berkesan.
Pada persidangan ini, Prof. Dr. Ismi Arif Ismail telah membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Technology Innovations for Education: The Need for Artificial Intelligence and Hyflex Learning Capacity Building for Educators’, yang membincangkan integrasi AI dan Pembelajaran HyFlex bagi mengukuhkan kemahiran pendidik.
“Perkongsian ini diharapkan dapat memberikan pemahaman yang lebih mendalam tentang keperluan latihan teknologi digital dalam kalangan pendidik agar boleh memacu institusi pendidikan tinggi ke arah pengukuhan landskap pendidikan yang lebih mudah diakses, saksama dan inovatif di seluruh dunia”, katanya.
Sementara itu, Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini telah membentangkan kertas kerja mengenai projek transformasi padi antara UPM dan kerajaan negeri Sarawak dalam agenda pertanian dan sekuriti makanan. - UPM
Date of Input: 21/06/2024 | Updated: 21/06/2024 | lanz
MEDIA SHARING