BINTULU, 14 Mei – Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan tinggi strategik di Borneo apabila Yang Berhormat Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) mengadakan lawatan kerja ke kampus ini hari ini. Lawatan tersebut menjadi platform penting dalam mempererat hubungan strategik antara kerajaan dan institusi pendidikan tinggi ke arah memperkasa pembangunan modal insan, pendidikan serta pembangunan komuniti di Sabah dan Sarawak.
Lawatan kerja tersebut turut memberi fokus kepada usaha mendekati mahasiswa Sabah dan Sarawak bagi mendengar pandangan serta aspirasi generasi muda berkaitan pembangunan wilayah, akses pendidikan tinggi dan peluang masa depan di Borneo. Seramai 30 orang pelajar Sabah dan Sarawak di UPMS telah terlibat dalam sesi ramah mesra dan dialog bersama YB Menteri yang berlangsung dalam suasana santai dan interaktif.
Dalam sesi tersebut, Yang Berhormat Menteri menekankan kepentingan pendidikan sebagai pemacu pembangunan wilayah serta menyeru golongan mahasiswa untuk terus memainkan peranan sebagai agen perubahan dalam menyumbang kepada kemajuan Sabah dan Sarawak. Selain itu, beliau turut berkongsi mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk kepentingannya dalam memperkukuh hak dan pembangunan Sabah serta Sarawak dalam kerangka Persekutuan Malaysia. YB Menteri turut menjelaskan usaha berterusan kerajaan dalam memastikan pelaksanaan MA63 dapat memberi manfaat kepada rakyat khususnya dari aspek pembangunan, pendidikan, infrastruktur dan kesejahteraan masyarakat di kedua-dua wilayah tersebut.
Selesai sesi bersama pelajar, Yang Berhormat Menteri meneruskan sesi perjumpaan bersama Ahli Pengurusan UPMS yang memberi fokus kepada potensi kerjasama strategik antara kerajaan dan universiti dalam memperkukuh agenda pembangunan komuniti, penyelidikan, inovasi dan keterjaminan makanan di Sabah dan Sarawak.
Dalam sesi tersebut, satu pembentangan khas mengenai projek Inisiatif AgriHub@Sepanggar telah disampaikan oleh Dr. Shairil Izwan bin Taasim, Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pendanaan dan Siswazah), Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains, UPMS. Inisiatif tersebut merupakan program pembangunan komuniti berasaskan pendekatan urban farming yang memberi penekanan kepada aspek teknikal dan kemahiran, ekonomi dan kewangan serta sosial dan kesedaran masyarakat.
Program tersebut dilihat berpotensi membantu komuniti bandar meningkatkan kemahiran asas pertanian, mengurangkan kos sara hidup melalui penghasilan makanan sendiri serta memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan keterjaminan makanan dan daya tahan komuniti. Inisiatif ini juga selari dengan aspirasi UPMS dalam memperkukuh agenda keterjaminan makanan dan pembangunan mampan di Borneo melalui pendekatan pendidikan dan pemindahan ilmu kepada masyarakat.
Turut hadir mengiringi Yang Berhormat Menteri dalam lawatan kerja tersebut ialah Setiausaha Politik kepada Menteri, Encik Ahmad Nazib Johari. Delegasi UPMS telah diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Putra Malaysia, Yang Berbahagia Prof. Ir. Dr. Abd Rahim Abu Talib yang mewakili Naib Canselor UPM bersama Pengarah Universiti Putra Malaysia Sarawak, Yang Berbahagia Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini serta Ahli Pengurusan UPMS.
Lawatan kerja tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dan institusi pendidikan tinggi dalam memperkukuh jaringan kerjasama strategik demi pembangunan Sabah dan Sarawak sekali gus memperkasakan peranan universiti sebagai rakan pembangunan masyarakat dan wilayah di Borneo.
Date of Input: 20/05/2026 | Updated: 20/05/2026 | lanz
MEDIA SHARING