BINTULU: Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains (FKPS) Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) telah menerima kohort pertama pelajar program Sarjana Tenaga Boleh Diperbaharui, hari ini yang merupakan antara usaha bagi memperkasa pembangunan modal insan dalam sektor tenaga hijau.
Pengambilan kumpulan perintis yang memulakan pengajian bagi Semester 2 Sesi Akademik 2025/2026 itu dilihat sebagai langkah strategik institusi berkenaan dalam menyokong agenda pembangunan lestari negeri, khususnya dalam memperkasa sektor tenaga alternatif di Sarawak.
Inisiatif tersebut selari dengan aspirasi Kerajaan Sarawak bagi memacu ekonomi hidrogen serta pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang menekankan keperluan tenaga kerja mahir dalam bidang tenaga boleh diperbaharui seperti hidro dan solar.
Dekan FKPS Profesor Madya Dr Wong Tze Jin berkata, kejayaan memperkenalkan program terbabit mencerminkan komitmen universiti dalam meneroka bidang kritikal yang berimpak tinggi khususnya kepada masa depan negeri.
"Program ini jelasnya bukan sahaja mengukuhkan kapasiti akademik universiti, malah membuka ruang kepada pembangunan kepakaran tempatan dalam sektor tenaga diperbaharui yang semakin berkembang," ujarnya.
Justeru beliau berharap agar FKPS terus berkembang sebagai pusat kecemerlangan akademik serta penyelidikan yang mampu menyumbang kepada pembangunan industri tenaga lestari pada masa depan.



Date of Input: 21/04/2026 | Updated: 21/04/2026 | lanz

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia