USAHA KERAJAAN TEROKA POTENSI KARBON HUTAN MAMPU TANGANI PERUBAHAN IKLIM | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» ARTICLE » USAHA KERAJAAN TEROKA POTENSI KARBON HUTAN MAMPU TANGANI PERUBAHAN IKLIM

USAHA KERAJAAN TEROKA POTENSI KARBON HUTAN MAMPU TANGANI PERUBAHAN IKLIM

BINTULU: Pemeliharaan hutan merupakan penyumbang kepada kelestarian iklim global sekali gus usaha Kerajaan Sarawak meneroka potensi karbon hutan sebagai sumber ekonomi dan pemuliharaan alam semula jadinya mampu menangani cabaran perubahan iklim.

Pengarah Institut Ekosains Borneo (IEB) Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu Dr Syeed Saifulazry Osman Al Edrus berkata, adalah penting program-program yang dapat membina jaringan profesional diadakan, sekali gus meningkatkan kesedaran berkaitan pemeliharaan hutan sebagai penyumbang kepada kelestarian iklim global

Katanya, program 'Inisiatif Perubahan Iklim dan Karbon Hutan di Sarawak' bukan sahaja bertujuan untuk menyampaikan maklumat ilmiah, tetapi juga membawa harapan besar ke arah masa depan yang lebih lestari.

"Ia memberi pendedahan kepada peserta tentang usaha Kerajaan Sarawak dalam meneroka potensi karbon hutan sebagai sumber ekonomi dan pemuliharaan alam semula jadi, sekali gus merintis kerjasama strategik merentas agensi dan sektor bagi menangani cabaran perubahan iklim," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada perasmian program 'Inisiatif Perubahan Iklim dan Karbon Hutan di Sarawak' secara hibrid dalam talian dan bersemuka di UPMKB di sini, baru-baru ini.

Program tersebut disertai 95 peserta dari pelbagai agensi, syarikat dan institusi pendidikan dalam dan luar Sarawak, terdiri daripada Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hutan Sarawak, UPM, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT), Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak.

Seterusnya Syarikat Samling, Sarawak Forestry Corporation (SFC), Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Envisar Sdn Bhd, SaraCarbon, South East Carbon, Worldview Climate Solutions (Sarawak), GE-Sinohydro Consortium dan lain-lain.

Ceramah berkaitan disampaikan oleh Pegawai Penyelidik Jabatan Hutan Sarawak Dr Malcom Demies serta turut dihadiri Ketua Laboratori Biodiversiti Borneo IEB Dr Keeren Sundara Rajoo dan moderatornya Pegawai Penyelidik Laboratori Biodiversiti Borneo IEB Zahora Ismail.

Dr Syeed Saifulazry berkata, kehadiran peserta dari pelbagai latar belakang dan agensi membuktikan isu perubahan iklim dan pemeliharaan hutan kini menjadi tanggungjawab bersama yang memerlukan tindakan kolektif dan kerjasama rentas sektor.

Justeru katanya, pihak penganjur berharap program itu dapat menjadi pemangkin kepada kerjasama strategik antara agensi kerajaan, institusi akademik, industri dan organisasi bukan kerajaan.

Ujarnya, melalui perkongsian ilmu dan pengalaman diharap lebih banyak kerjasama akan terjalin dalam merangka dan melaksanakan inisiatif berimpak tinggi yang menyokong agenda pembangunan lestari khususnya dalam bidang karbon hutan dan pemuliharaan biodiversiti.

Beliau berharap agar program itu dapat merangsang lebih banyak penyelidikan dan inovasi dalam bidang sains alam sekitar serta memperkukuh jaringan profesional dalam kalangan pengamal, penyelidik dan pembuat dasar.

Menurutnya, sinergi ini juga akan membentuk asas kukuh untuk menangani bersama cabaran perubahan iklim yang semakin mendesak.

"IEB komited untuk terus menjadi peneraju dalam usaha menyebarkan ilmu, membina rangkaian kerjasama dan memperkukuh tindakan kolektif demi kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan generasi akan datang," tambahnya.

Date of Input: 05/06/2025 | Updated: 05/06/2025 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
W.2025/7/4:8:13:24~noCache