PREMIER SARAWAK RASMIKAN COSAFS 2026 | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK 127
» ARTIKEL » PREMIER SARAWAK RASMIKAN COSAFS 2026

PREMIER SARAWAK RASMIKAN COSAFS 2026

BINTULU, 3 Ogos – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg merasmikan 'Congress on Sustainable Agriculture and Food Security 2026' (COSAFS 2026) di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Kongres yang berlangsung selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Ogos 2026 itu dianjurkan oleh Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) dengan kerjasama Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) serta International Society for Nutraceuticals and Functional Foods (ISNFF), bersempena Sarawak Agrofest 2026.
 
Menurut Abang Johari, bidang pertanian lebih daripada sekadar menghasilkan makanan untuk Sarawak tetapi juga memastikan keselamatan makanan, menjana kemakmuran ekonomi untuk penduduk luar bandar dan menjaga biodiversiti dan kesejahteraan generasi akan datang.
 
Katanya lagi, beliau berharap untuk mengubah pertanian kepada industri moden, berasaskan teknologi dan berpendapatan tinggi menerusi antaranya penggunaan AI, automasi dan bioteknologi.
 
Dalam majlis yang sama, Premier Sarawak turut melancarkan AgriHub, yang merangkumi tiga inisiatif utama iaitu AgriHub@Gedong, AgriHub@Layar dan AgriHub@Marudi.
 
Inisiatif tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan pertanian pintar, pemerkasaan komuniti, pengkomersialan teknologi serta pembangunan agroindustri setempat sebagai usaha memperkukuh transformasi sektor agromakanan Sarawak.
 
Majlis turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Putra Malaysia dan SEDC Nutreco Sdn. Bhd. bagi memperkukuh kerjasama strategik antara institusi akademik dan industri dalam bidang penyelidikan, inovasi serta pembangunan sektor agromakanan negara.
 
AgriHub merupakan platform transformasi pertanian yang mengintegrasikan penyelidikan, inovasi teknologi serta kerjasama strategik antara kerajaan, institusi akademik, industri dan komuniti ke arah memodenkan sektor agromakanan Sarawak.
 
Bertemakan 'Feeding the Future, Fostering Sustainable Food', COSAFS2026 menjadi platform akademik dan profesional bertaraf antarabangsa yang menghimpunkan penyelidik, ahli akademik, profesional industri, pembuat dasar, agensi kerajaan serta peserta dari dalam dan luar negara bagi membincangkan isu-isu berkaitan pertanian lestari, keselamatan makanan, inovasi teknologi dan pembangunan agroindustri.
 
Kongres tersebut menghimpunkan empat persidangan antarabangsa sebagai program utama, iaitu International Scientific Conference on Indigenous Crops (ISCI2026), International Conference on Fisheries and Animal Sciences (FISAS2026), International Conference on Food and Industrial Crops (ICFIC2026) serta 18th Conference and Exhibition of the International Society for Nutraceuticals and Functional Foods (ISNFF2026).
 
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom serta tetamu kehormat yang lain.
 

Tarikh Input: 17/08/2026 | Kemaskini: 17/08/2026 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855205
-
X, (02:24:37am-02:29:37am, 18 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]