Tekanan akademik, hubungan sosial serta proses menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus antara cabaran yang boleh menjejaskan kesejahteraan emosi mahasiswa.
Menyedari kepentingan menyediakan ruang yang lebih pelbagai untuk mahasiswa mengekspresikan diri, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) mengambil pendekatan kreatif menerusi pelaksanaan Sesi Terapi Seni yang memberi tumpuan kepada penerokaan emosi, kekuatan diri dan pembinaan daya tahan diri.
Berbeza dengan sesi perkongsian yang bergantung sepenuhnya kepada komunikasi secara lisan, pendekatan berasaskan seni itu menggunakan warna, simbol dan lakaran sebagai medium bagi membantu setiap peserta menggambarkan pengalaman dalaman sebelum melakukan refleksi terhadap hasil karya masing-masing.
Sesi berkenaan dikendalikan oleh Kaunselor Pelatih Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) merangkap Pegawai Psikologi UPMS Hairunisah Abdul Rahman di sini, kelmarin menerusi tiga ak
tiviti yang disusun mengikut proses penerokaan kendiri iaitu ‘Siapa Saya di Sebalik Topeng?’, ‘Beg Kekuatan Saya’ dan ‘Bingkai Apa Yang Ku Mahu’.
Aktiviti pertama memberikan peluang kepada peserta meneroka perbezaan antara diri yang sering ditampilkan kepada orang sekeliling dengan emosi atau sisi diri yang jarang dizahirkan.
Peserta kemudiannya dibimbing mengenal pasti sumber kekuatan dalaman dan luaran yang boleh membantu mereka menghadapi cabaran menerusi aktiviti ‘Beg Kekuatan Saya’.
Program diakhiri dengan
aktiviti ‘Bingkai Apa Yang Ku Mahu’, apabila peserta menterjemahkan harapan serta perkara yang ingin dicapai dalam bentuk karya seni sebelum membingkaikannya untuk dibawa pulang sebagai peringatan terhadap hala tuju dan aspirasi masing-masing.
Menurut pengendali program, usaha menjaga kesihatan mental mahasiswa tidak seharusnya hanya bermula apabila seseorang berhadapan dengan masalah serius, sebaliknya perlu merangkumi aspek pencegahan serta pembangunan kekuatan psikologi.
“Ketahanan diri bukan bermaksud seseorang itu tidak pernah berasa tertekan atau berdepan kesukaran.
“Apa yang penting ialah pelajar mengenali dirinya, sedar akan sumber kekuatan yang dimiliki dan mempunyai sesuatu yang ingin dituju apabila berhadapan dengan cabaran,” katanya.
Pendekatan menerusi seni pada masa sama turut memberikan pilihan kepada mahasiswa yang mungkin kurang selesa mengekspresikan pengalaman atau emosi mereka melalui kata-kata.
Dalam sesi berkenaan, hasil karya seni tidak dinilai berdasarkan aspek kecantikan mahupun kemahiran melukis, sebaliknya digunakan sebagai medium penerokaan dan refleksi kendiri.
Pelaksanaan sesi dalam kelompok kecil juga membolehkan peserta mendapatkan ruang yang lebih selesa untuk berkarya, melakukan refleksi serta berkongsi pengalaman mengikut tahap kesediaan masing-masing.
Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha UPMS mempromosikan penjagaan kesihatan mental dan kesejahteraan psikologi dalam kalangan mahasiswa.


Tarikh Input: 14/08/2026 | Kemaskini: 14/08/2026 | lanz

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia
Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia