Kota Kinabalu, 10 September – Sejarah baharu pembangunan belia serantau dilakar apabila Deklarasi Belia Borneo dimeterai dengan penuh simbolik sempena Borneo Youth Leaders Summit (BYLS2025) yang berlangsung di Kota Kinabalu.
Deklarasi bersejarah itu disempurnakan oleh Pengarah Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) merangkap Pengerusi Konsortium Universiti Universitas Borneo (KUUB), YBhg. Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini, yang menegaskan bahawa agenda pembangunan belia serantau menjadi teras utama dalam memastikan generasi muda Borneo kekal relevan, berdaya saing dan mampu berdiri di pentas global.
Sebanyak lima kluster strategik digariskan sebagai hala tuju deklarasi, meliputi:
1. Pendidikan
2. Kebolehpasaran
3. Kepimpinan
4. Inovasi
5. Kesejahteraan Sosial
Kluster ini akan menjadi panduan jangka panjang dalam membentuk modal insan berkualiti tinggi, selain menyediakan ekosistem menyeluruh untuk pembangunan belia Borneo.
Menurut Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini, pelbagai inisiatif dan insentif baharu akan digerakkan dengan fokus kepada pendidikan dan kebolehpasaran belia. Langkah ini bakal membuka ruang luas kepada peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran serta pengukuhan daya saing serantau.
“Deklarasi ini bukan sekadar dokumen, tetapi satu komitmen kolektif yang menggabungkan kekuatan universiti, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan serta komuniti belia. Dengan penyatuan ini, kita yakin generasi pemimpin muda Borneo yang progresif, inklusif dan berdaya tahan akan terbentuk,” katanya.
Dengan termeterainya deklarasi ini, BYLS2025 kini diangkat sebagai platform utama suara belia Borneo, menjadi wadah penyatuan aspirasi generasi muda dalam mencorakkan masa depan rantau ini.
Tarikh Input: 17/09/2025 |
Kemaskini: 17/09/2025 | lanz
PERKONGSIAN MEDIA