Kota Kinabalu, 9 September – Peserta terdiri daripada belia, pemimpin muda, ahli akademik serta wakil pelbagai organisasi berkumpul di Hotel Hilton Kota Kinabalu dari jam 8.00 pagi hingga 10.00 malam sempena Borneo Youth Leaders Summit (BYLS) 2025, sebuah platform serantau yang menyatukan suara generasi muda Borneo ke arah pembangunan mampan dan inklusif.
BYLS 2025 menjadi gelanggang penting dalam memperkasa belia melalui perbincangan dasar, forum kepimpinan, bengkel inovasi dan sesi jaringan strategik. Antara sorotan utama termasuklah Deklarasi Belia Borneo, yang memfokuskan lima kluster pembangunan belia: pendidikan, kebolehpasaran, kepimpinan, inovasi dan kesejahteraan sosial.
Pengerusi Konsortium Universiti Universitas Borneo (KUUB), YBhg. Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini, menegaskan bahawa BYLS 2025 adalah permulaan era baharu bagi belia Borneo untuk tampil sebagai pemimpin global dengan identiti serantau yang kukuh.
“Agenda yang dibawa dalam sidang ini adalah lebih daripada wacana. Ia adalah tindakan kolektif untuk memastikan belia Borneo mampu menempuh cabaran dunia, sambil mengekalkan nilai, budaya dan keunikan rantau ini,” katanya.
Sepanjang berlangsungnya BYLS 2025, para peserta diberi ruang untuk berkongsi idea dan aspirasi dalam forum belia serantau, mengikuti bengkel pembangunan kemahiran berteraskan inovasi dan kepimpinan, serta membina jaringan strategik bersama universiti, agensi kerajaan, badan korporat dan pertubuhan belia.
BYLS 2025 diakhiri dengan penuh bermakna apabila Deklarasi Belia Borneo dimeterai, menandakan permulaan kerjasama kukuh dalam memperjuangkan suara dan masa depan generasi muda rantau ini.
Dengan semangat “Borneo Bermartabat”, BYLS 2025 membuktikan bahawa belia bukan sekadar pewaris, tetapi penggerak utama dalam mencorakkan hala tuju masa depan Borneo dan rantau Asia Tenggara.
Tarikh Input: 17/09/2025 |
Kemaskini: 17/09/2025 | lanz
PERKONGSIAN MEDIA