COSAFS2026 PERKASA KERJASAMA GLOBAL DEMI KELESTARIAN AGROMAKANAN | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK sarawak
» BERITA » COSAFS2026 PERKASA KERJASAMA GLOBAL DEMI KELESTARIAN AGROMAKANAN

COSAFS2026 PERKASA KERJASAMA GLOBAL DEMI KELESTARIAN AGROMAKANAN

BINTULU: Kongres Pertanian Mampan dan Keselamatan Makanan 2026 (COSAFS2026) dilihat sebagai platform terbaik bagi menghimpunkan semua penyelidik, ahli akademik, pemimpin industri, pembuat dasar serta pakar dari seluruh dunia bagi mengukuhkan kerjasama dalam menangani cabaran global berkaitan pertanian mampan dan keselamatan makanan.

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Dato Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, kongres yang bertemakan 'Makanan Untuk Masa Depan, Memupuk Pemakanan Mampan' itu mencerminkan keperluan mendesak dunia untuk mencari penyelesaian inovatif terhadap isu perubahan iklim, pertambahan populasi, kekangan sumber semula jadi dan gangguan sistem makanan.

Menurut beliau, sebagai salah sebuah universiti peneraju negara dalam bidang pertanian dan sains berkaitan, UPM komited mengukuhkan kecemerlangan dalam bidang pendidikan, penyelidikan, inovasi serta pemindahan ilmu melalui Agenda 'True North' bagi melahirkan graduan berdaya saing serta menghasilkan penyelidikan yang memberi impak kepada masyarakat.

"Universiti bukan sahaja bertanggungjawab menjana ilmu pengetahuan, malah perlu menterjemahkan hasil penyelidikan kepada penyelesaian praktikal yang mampu meningkatkan kesejahteraan masyarakat serta menjamin kelestarian masa depan," katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian COSAFS2026 di sini, hari ini.

Menurut beliau, kongres itu turut menghimpunkan empat lagi persidangan antarabangsa berprestij di bawah satu platform iaitu Persidangan Saintifik Antarabangsa Tanaman Peribumi (ISCIC2026), Persidangan Antarabangsa Sains Perikanan dan Haiwan (FISAS2026), Persidangan Antarabangsa Makanan dan Tanaman Industri (ICFIC2026) serta Persidangan Ke-18 Persatuan Antarabangsa Nutraseutikal dan Makanan Berfungsi (ISNFF2026).

Katanya, penganjuran ISNFF2026 di Malaysia buat julung kalinya membuktikan pengiktirafan antarabangsa terhadap Malaysia khususnya Sarawak sebagai destinasi penyelidikan, inovasi dan kerjasama strategik dalam sektor agromakanan.

Dalam pada itu jelasnya, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) terus memainkan peranan penting dalam memperkasakan pembangunan pertanian mampan di negeri ini menerusi pelbagai inisiatif sebagaimana Pusat Penyelidikan AgriHub@Gedong bagi memperkasakan komuniti tani melalui program Jalinan Kasih Tani (JKT) yang menghubungkan penyelidik, pelajar dan petani secara langsung di lapangan.

"Inisiatif ini bukan sekadar memperkenalkan teknologi baharu, tetapi membina kepercayaan dan mengubah budaya kerja petani ke arah pertanian berasaskan sains dan data," ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa penubuhan Sekolah Perubatan Veterinar dan Sains Haiwan (SVAS) merupakan satu lagi langkah strategik dalam memperkukuh pendidikan veterinar serta melahirkan lebih ramai tenaga profesional tempatan bagi menyokong pembangunan sektor ternakan dan agromakanan negara.

Menurutnya, COSAFS2026 turut menyediakan ruang kepada peserta dari pelbagai negara supaya saling berkongsi hasil penyelidikan terkini, membina rangkaian profesional, menjalinkan kerjasama antarabangsa serta meneroka peluang baharu dalam bidang pertanian mampan, keselamatan makanan, sumber asli dan pembangunan komuniti.

"Lebih penting lagi, kongres ini menjadi pemangkin bagi menterjemahkan penemuan saintifik kepada teknologi termasuk dasar dan amalan yang mampu memberikan manfaat kepada masyarakat sekali gus mengukuhkan sistem makanan yang lebih berdaya tahan," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak, khususnya Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) atas sokongan berterusan dalam memperkasakan penyelidikan, inovasi dan pembangunan modal insan bagi menjamin keselamatan makanan serta merangsang pertumbuhan ekonomi mampan.

Pada masa sama katanya, beliau berharap semua perwakilan dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang sepanjang kongres untuk saling bertukar idea, meluaskan jaringan kerjasama serta membina perkongsian strategik yang mampu memberi manfaat kepada pembangunan sektor pertanian dan agromakanan pada masa depan.

Tarikh Input: 17/08/2026 | Kemaskini: 17/08/2026 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855205
-
X, (02:26:00pm-02:31:00pm, 19 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]