KEJOHANAN CONQUER UPMS PUBG MOBILE MERIAH DENGAN PERSAINGAN SENGIT | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK
» BERITA » KEJOHANAN CONQUER UPMS PUBG MOBILE MERIAH DENGAN PERSAINGAN SENGIT

KEJOHANAN CONQUER UPMS PUBG MOBILE MERIAH DENGAN PERSAINGAN SENGIT

BINTULU, 5 April – Program CONQUER UPMS PUBG Mobile Tournament yang berlangsung pada 4 hingga 5 April 2026 di Dewan Sri Kenyalang, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu, telah berjaya menarik penyertaan luar biasa daripada kalangan pelajar serta peminat tegar e-sukan di seluruh Sarawak. Suasana di dalam kampus menjadi meriah dengan kehadiran peserta yang menyahut cabaran dalam permainan PUBG Mobile.
 
Permainan ini bukan sekadar aktiviti e-sukan biasa, malah merupakan satu ujian kelangsungan hidup yang menuntut kemahiran tinggi, perancangan strategi yang teliti, serta tahap kesabaran yang kental bagi setiap pemain yang bertanding.
 
Penganjuran pertandingan ini telah dijayakan oleh Jabatan Sains dan Teknologi UPMS dengan kerjasama pelajar Diploma Sains Komputer, semester kelima bagi Sesi Akademik 2025/2026. Di bawah pimpinan Saudara Rifqy Nazhan Ryza bin Zukhairy selaku pengarah program, inisiatif ini dilaksanakan bagi mencapai objektif murni iaitu menggalakkan interaksi sosial serta memupuk semangat kerjasama yang erat dalam kalangan pemain.
 
Penggunaan platform PUBG Mobile dilihat sangat bertepatan memandangkan aplikasinya yang sangat popular dan dekat dengan jiwa golongan muda masa kini. Sepanjang tempoh pertandingan berlangsung, setiap pasukan telah mempamerkan mutu permainan yang sangat berkualiti tinggi dan penuh dengan taktikal bagi mendepani saingan sengit daripada pihak lawan. Setiap pusingan perlawanan diselubungi dengan suasana penuh debaran yang bukan sahaja dirasai oleh para pemain, malah turut berjaya menarik perhatian serta sokongan padu daripada penonton yang mengikuti perkembangan kejohanan tersebut secara dalam talian menerusi platform penstriman.
 
Kecemerlangan dalam kerjasama pasukan akhirnya menyaksikan pasukan Aztira Ryu muncul sebagai juara, manakala pasukan Jujutsu Reject dan AEG X1 masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga. Pasukan juara membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1000, diikuti tempat kedua sebanyak RM750 dan tempat ketiga sebanyak RM500. Kejayaan yang diraih oleh pasukan-pasukan ini menjadi bukti nyata terhadap kecekapan koordinasi dan kesepaduan strategi yang mantap antara ahli kumpulan. Hal ini sekali gus membuktikan bahawa persefahaman yang tinggi merupakan kunci utama dalam mencapai kemenangan bagi sebarang acara berpasukan.
 
Menurut pihak penganjur, penganjuran kejohanan ini tidak hanya terhad kepada usaha mencungkil bakat baharu dalam arena e-sukan, tetapi turut berfungsi sebagai medium untuk pelajar meningkatkan kemahiran insaniah. Antara elemen penting yang ditekankan termasuklah aspek komunikasi berkesan, ciri kepimpinan, serta keupayaan berfikir secara strategik dalam situasi yang mencabar. Melalui aktiviti seumpama ini, pelajar dapat mempraktikkan teori kepimpinan dalam suasana yang santai namun tetap kompetitif.
 
Sebagai penutup, pihak penganjur menzahirkan harapan yang tinggi agar kejohanan seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan. Usaha ini diharapkan mampu menarik penyertaan yang lebih meluas daripada pelbagai lapisan masyarakat serta terus mendapat sokongan padu daripada komuniti e-sukan secara keseluruhannya. Penganjuran yang konsisten akan memastikan ekosistem e-sukan di peringkat universiti terus berkembang dan relevan dengan peredaran zaman digital.
 
 
 
 
 

 

Tarikh Input: 08/04/2026 | Kemaskini: 08/04/2026 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
-
F, (08:23:24am-08:28:24am, 09 Apr 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]