Bintulu, 22 Ogos 2025 – Seramai 100 orang pelajar Sekolah Kebangsaan Kampung Jepak telah menyertai Bengkel Terarium yang dianjurkan oleh Pembangunan Sumber Manusia Berhad, Bintulu dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia Sarawak. Program ini bertujuan mendidik murid tentang asas ekosistem, kepentingan kelestarian alam sekitar serta memupuk kemahiran kreativiti dan kerja berpasukan.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Puan Hixmmien Anak Mujah, Ketua Pejabat Bintulu. Kemudian, guru besar Sekolah Kebangsaan Kampung Jepak, Encik Ibrahim Bin Ismail memberi ucapan beliau. Diikuti oleh, sesi penerangan mengenai terarium disampaikan oleh dua penceramah jemputan iaitu: LAr. Dr. Owen Yeo Thian Seng dan sesi soal jawab oleh Ts. Dr. Shiamala Devi Ramaiya. Pelajar yang berjaya menjawab soalan kuiz juga menerima hadiah galakan.
Turut hadir memeriahkan program ini ialah barisan pentadbir sekolah: Guru Besar: Encik Ibrahim Bin Ismail, Penolong Kanan 1: Encik Martin Anak Alo, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid: Encik Malik Faisal Bin Abdul Wahab, Penolong Kanan Kurikulum: Encik Mezelan Bin Massimun, Puan Jess, Puan Bella dan ramai lagi.
Bengkel ini dilaksanakan selama hampir dua jam, bermula dengan pembahagian kumpulan, taklimat, sesi soal jawab, pengumpulan bahan di stesen pengambilan, sesi membina terarium, dan diakhiri dengan sesi persembahan hasil kerja.
10 kumpulan dibimbing oleh fasilitator, manakala setiap stesen bahan dikawal oleh 2 fasilitator untuk memastikan kelancaran agihan. Pelajar mengikuti langkah demi langkah, bermula dengan meletakkan arang aktif, moss, campuran tanah, menanam tumbuhan kecil, menghias, dan menyembur air untuk melengkapkan terarium.
Sepanjang bengkel, pelajar menunjukkan minat yang tinggi serta daya kreativiti dalam menghias terarium masing-masing. Hasil kerja mereka kemudiannya dipamerkan dan setiap kumpulan berkongsi pengalaman serta idea reka bentuk.
Program diakhiri dengan sesi bergambar beramai-ramai serta peringatan kepada pelajar tentang cara menjaga terarium, termasuk menyiram dengan semburan air sekali seminggu, memastikan cahaya mencukupi dan membersihkan bekas secara berkala.
Tarikh Input: 26/08/2025 |
Kemaskini: 26/08/2025 | lanz
PERKONGSIAN MEDIA