Balingian, Mukah, 28 Jun 2025 – Program Komuniti UniMadani@Mukah Siri 1: Pengawetan Makanan telah berlangsung dengan jayanya hari ini di Kampung Kuala Balingian, Mukah, Sarawak. Program ini merupakan inisiatif komuniti yang bertujuan untuk memperkasa wanita setempat dengan pengetahuan serta kemahiran dalam bidang pemprosesan makanan, khususnya teknik pengawetan.
Seramai 40 orang peserta wanita dari komuniti setempat telah mengambil bahagian dalam program ini. Mereka diberi pendedahan kepada dua kategori utama teknik pengawetan makanan, iaitu pengawetan secara termal (berasaskan haba) dan bukan termal, yang merangkumi kaedah-kaedah tradisional dan moden dalam memastikan ketahanan serta keselamatan produk makanan.
Program ini disampaikan dalam dua sesi, pagi dan petang, oleh dua orang penceramah berpengalaman. Puan Zahora Ismail, Pegawai Penyelidik dari Laboratori Biodiversiti Borneo, Institut Ekosains Borneo, menyampaikan sesi pertama yang memberi fokus kepada asas teknik pengawetan makanan dan aplikasinya dalam komuniti. Manakala sesi kedua disampaikan oleh Puan Azizah Mohamad dari National Institutes of Biotechnology Malaysia (NIBM) yang berkongsi kepakaran beliau dalam aspek keselamatan makanan dan pengendalian yang betul.
Menariknya, selepas sesi bersama Puan Zahora Ismail, peserta turut berpeluang menyertai aktiviti khas penghasilan resipi viral “Dahfa Merah” sebagai satu latihan amali untuk meningkatkan kemahiran praktikal dalam penyediaan produk makanan berasaskan teknik pengawetan. Aktiviti ini bukan sahaja menambah ilmu baharu, malah mencetuskan keterujaan dalam kalangan peserta yang menyambutnya dengan penuh semangat dan rasa gembira.
Sesi ceramah dan demonstrasi dijalankan secara interaktif bagi memastikan peserta mendapat pemahaman yang menyeluruh dan boleh mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam kehidupan harian mahupun sebagai asas kepada inisiatif keusahawanan.
Menurut salah seorang peserta, program seperti ini amat bermanfaat kerana membuka peluang kepada wanita luar bandar untuk menjana pendapatan sampingan melalui pemprosesan makanan yang tahan lama, selamat dan berpotensi dikomersialkan. Ketua projek Komuniti@UniMadani Putra-Mukah, Dr. Hanisah Kamilah Binti Abd Razak, berharap program ini dapat memberikan pelbagai ilmu baru kepada komuniti usahawan wanita Kuala Balingian, Mukah dalam memperkasakan industri makanan setempat.
Program Komuniti UniMadani@Mukah ini juga dijangka akan diteruskan dalam beberapa siri akan datang, dengan fokus kepada pembangunan kapasiti komuniti luar bandar dalam pelbagai bidang termasuk pemakanan, pertanian, dan keusahawanan.
Tarikh Input: 07/07/2025 |
Kemaskini: 07/07/2025 | lanz
PERKONGSIAN MEDIA